KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan kajian bagi mewujudkan politeknik khusus untuk program kecerdasan buatan (AI) pertama di negara ini, kata Menterinya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata perbincangan berkaitan perkara itu telah dibuat bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Mohd Zahari Ismail ketika melawat University of Tsukuba di Irabaki, Jepun, baru-baru ini.

University of Tsukuba ialah sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Jepun dan mempunyai pusat kajian AI.

"Saya dan pihak universiti mencapai kata sepakat untuk kita menjalinkan kerjasama dalam bidang AI ini melalui pemindahan dan perkongsian tenaga mahir serta teknologi terkini yang berkaitan.

"Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mewakili MTUN (Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia) bersama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang sedang membangunkan Pusat Pengajian AI di Malaysia akan terlibat dalam kerjasama ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry sebelum ini berada di Jepun bagi mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatan kerja ke negara itu bermula 17 Feb lepas hingga semalam.

Beliau berkata selain itu, Malaysia juga telah dipilih oleh University of Tsukuba untuk membuka cawangannya di Universiti Malaya yang dijangka beroperasi pada September ini.

"Pembukaan kampus ini akan menarik lebih ramai pelajar luar untuk datang ke Malaysia dan proses pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara seperti ini akan membantu meningkatkan ekonomi negara. Pada masa sama, universiti ini mempunyai Pusat Kajian Kecerdasan Buatan (C-AIR) yang ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Zambry turut menyarankan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini mengkaji dan merangka mengenai 'Social Implementation Education' dalam sistem pendidikan tinggi negara seperti yang telah dipraktikkan National Institute of Technology, Tokyo College (Tokyo KOSEN).

Beliau berkata ini kerana di KOSEN, pelajar yang diambil bermula usia 15 tahun diberikan peluang untuk menghasilkan sesuatu yang baharu mengikut kreativiti dan idea masing-masing dan hasil itu kemudian menjadi penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat di Jepun dan secara tidak langsung membantu kerajaan mengatasi sesuatu isu dengan berkesan.

Menurut Zambry program lima tahun yang dilaksanakan KOSEN itu mampu melahirkan graduan yang sentiasa menjadi rebutan industri besar seperti Panasonic, Sony dan Honda.

"Perkara ini akan dibincangkan bersama pihak berkenaan bagi mencari kesesuaian modul yang terbaik untuk anak-anak kita," katanya.

Zambry berkata selain itu, satu kerjasama baharu juga akan dibentuk antara KPT dan Japan International Cooperation Agency (JICA) yang memfokuskan kepada penyediaan dana daripada pihak JICA dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Hal ini memberi peluang kepada universiti MTUN dan politeknik untuk meneroka bidang TVET dengan lebih meluas," katanya.

Selain itu, beliau berkata turut dipersetujui ialah untuk meneroka kerjasama dalam bidang Internet kebendaan (IoT), AI dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi antara Tokyo University of Science dengan beberapa universiti dan politeknik tempatan yang akan dikenal pasti.

Zambry berkata KPT juga akan menggerakkan Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta untuk menarik lebih ramai pelajar Jepun melanjutkan pengajian di Malaysia dengan jumlah terkini adalah seramai 1,262 pelajar manakala seramai 849 pelajar Malaysia kini belajar di Jepun.

-- BERNAMA