KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan tiada sebarang usaha untuk menutup Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Muadzam Shah, Rompin, Pahang, seperti yang digembar-gemburkan.

Menterinya,  Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, beliau juga telah meminta Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof Azlinda Azman untuk melakukan semakan dengan institusi pengajian itu dan dimaklumkan tidak menerima sebarang maklum balas berkenaan penutupan tersebut.

"(Secara peribadinya) berita itu tidak sampai kepada saya, walaupun saya dengar dari luar. Saya nak maklumkan tiada sebarang arahan secara langsung disampaikan kepada pengetahuan saya.

"Saya juga telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) semalam apabila beliau membangkitkan isu itu.

"Berdasarkan semakan dengan pegawai-pegawai kanan, saya dimaklumkan tiada sebarang perkara sedemikian.

"Malah saya telah meminta Ketua Pengarah (Pengajian Tinggi) untuk semak dengan pihak Uniten dan beliau sahkan tiada sebarang usaha utntuk menutup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Universiti Malaya (UM) di sini, pada Jumaat.

Tidak ada usaha langsung untuk tutup Uniten di Muadzam Shah - Zambry


Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Kerajaan Pahang bersetuju terhadap cadangan penutupan universiti terbabit dan mahu keputusan itu  dikaji semula.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selepas membuat keputusan sebulat suara dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang.