Sasaran mewujudkan 13,200 taska berdaftar menjelang tahun 2020 memudahkan golongan ibu yang berkerjaya bagi memastikan anak mereka mendapat asuhan dan didikan awal yang berkualiti.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, jumlah 4,240 taska kini dilihat masih terlalu jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

"Setakat ini, sebanyak 3.4 juta kanak-kanak di bawah usia 4 tahun di dalam negara, maka adalah menjadi faktor utama (bilangan) taska itu perlu diwujudkan.

"Saya juga mahu 59 peratus golongan wanita bekerja menjelang 2020, dan dengan itu saya kena pastikan taska mencukupi bagi menjaga anak-anak kepada wanita yang berkerjaya ini.

"Menerusi ini juga, golongan ibu boleh menjadi ibu dan isteri yang baik, dan terus ke arah sebuah negara yang harmoni," kata Rohani selepas melancarkan Majlis Perasmian Hari Taska 2016 di Petaling Jaya pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rohani turut meminta syarikat swasta untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Selain itu katanya, ibu bapa diminta menghantar anak-anak ke taska berdaftar untuk menjamin keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan mereka.

Pada masa sama, Rohani mahu persepsi bidang asuhan kanak-kanak menjadi kerjaya sambilan diubah kepada sesuatu yang profesional.

Sementara itu, di majlis itu, portal www.asuhan.my dilancarkan bertujuan memudahkan ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai taska berdaftar.