KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasar untuk melahirkan 50,000 penjaga warga emas berkemahiran menjelang 2030 sebagai langkah strategik mendepani status negara tua.
Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata sasaran itu dirangka di bawah Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026-2030 bagi menyokong pembangunan ekosistem penjagaan warga emas yang komprehensif, khususnya penjagaan jangka panjang.
Beliau berkata usaha penjagaan warga emas adalah satu cabaran holistik yang memerlukan pendekatan merentasi pelbagai kementerian serta penglibatan aktif sektor swasta.
"Salah satu inisiatif yang dilancarkan KPWKM berhubung penjagaan jangka panjang ini adalah membangunkan kerangka strategik dan pelan tindakan penjagaan Malaysia 2026-2030.
"Kerangka strategik ini juga turut meliputi inisiatif dan penglibatan pihak swasta yang boleh dilaksanakan menerusi usaha Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan matlamat meningkatkan penawaran perkhidmatan penjagaan harian di rumah dan pusat jagaan swasta yang kompetitif dan mampu diakses," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung perancangan dan persediaan kerajaan untuk membiayai kos penjagaan warga emas yang semakin meningkat, memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara tua.
-- BERNAMA