Krisis air di Lembah Klang terutamanya di Ampang dan Cheras dijangka berterusan sehingga sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

Situasi air di kedua-dua kawasan itu akan dipantau rapi dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan memaklumkan kepada penduduk mengenai kedudukan terkini setiap hari.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata berikutan itu, Syabas menempatkan petugas teknikal dan bukan teknikal dari pelbagai jabatan untuk membantu penduduk yang terjejas semasa berlakunya krisis ini.

"Menjadi tanggungjawab kita untuk membekalkan air bersih kepada penduduk, dan memandangkan kita tidak boleh berbuat demikian melalui saluran paip, kita akan mengagihkan air menggunakan lori dan tangki. Kita akan membantu membawa air ke kediaman mereka," katanya.

Rozali bercakap kepada kira-kira 200 petugas Syabas dalam majlis taklimat sebelum mereka dihantar bertugas ke kawasan yang telahpun ditetapkan, di ibu pejabat Syabas di sini Selasa.

Rozali berkata sekiranya ada sukarelawan yang ingin membantu penduduk yang terjejas akibat krisis air ini, mereka diminta menghubungi ibu pejabat Syabas untuk mendaftar sebagai sukarelawan dan ditugaskan di kawasan kritikal.

Kira-kira 1,000 petugas Syabas terlibat dalam operasi siang malam, termasuk 450 petugas teknikal yang telahpun ditugaskan apabila krisis itu bermula dua minggu lepas.

Rozali turut membayangkan krisis itu akan berpanjangan memandangkan terdapat kekurangan air yang dirawat, peningkatan permintaan dari semasa ke semasa dan penangguhan program CAPEX yang turut merangkumi kerja pembaikan, menaik taraf, atau pertukaran aset dan sistem pengagihan air semasa oleh kerajaan negeri.

Mengenai krisis air yang sedang berlaku di Lembah Klang, katanya pam di rumah pam Wangsa Maju hanya berupaya mengepam 180 juta liter air sehari, 40 juta liter kurang daripada apa yang diperlukan bagi memenuhi keperluan semua pengguna di kawasan yang terjejas.

"Bagi membekalkan air yang mencukupi kepada semua pengguna, pam itu perlu mengepam sekurang-kurangnya 210 juta liter air setiap hari, bagaimanapun kami tidak berupaya berbuat demikian dengan pam sedia ada memandangkan ia telah terlebih guna dan akan terlebih bebanan hingga mengakibatkan gangguan air lebih besar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Syabas Datuk Lee Miang Koi menjangkakan tempoh pemulihan bekalan air di 13 kawasan di wilayah Kuala Lumpur akan mengambil masa yang lebih lama.

Beliau berkata proses pemulihan bekalan air tidak dapat dicapai sepenuhnya di kawasan seperti Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Pandan Cahaya dan Desa Pandan, yang melibatkan kira-kira 28,000 akaun, memandangkan tidak ada kapasiti rezab bekalan air.

Katanya kadar pengepaman Rumah Pam Wangsa Maju terpaksa dihadkan kepada 180 juta liter sehari (JLH) berbanding kadar pengepaman biasa yang mencecah 210 JLH.

"Keadaan pemulihan bagi wilayah Kuala Lumpur setakat ini adalah 40 peratus sahaja disebabkan oleh pengurangan kadar pengepaman air terawat dari rumah pam tersebut.

"Rumah pam tersebut menghadapi masalah untuk terus beroperasi dalam keadaan 'overload' apabila dikehendaki beroperasi melebihi kadar pengepaman tersebut 170 hingga 180 JLH," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lee berkata Syabas mengambil langkah alternatif untuk meringankan kesulitan pengguna dengan menghantar bekalan air menggunakan 40 buah lori tangki air bersama 16 bantuan lori tangki air dari negeri lain seperti Johor, Perak dan Melaka.

Sehubungan itu Lee menasihati pengguna supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh pemulihan bekalan air bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi.

Dalam pada itu katanya Rumah Pam Pudu Hulu Baru sudah beroperasi sepenuhnya pada 6 Jan lepas manakala gangguan bekalan air di wilayah Gombak sudah pulih 95 peratus.