BEIJING: Kru Shenzhou-18 China berjaya memasuki stesen angkasa Tiangong selepas kapal angkasa yang dinaiki mereka bercantum dengan kombinasi stesen angkasa secara automatik pada 5.04 pagi Jumaat.

Kedatangan tiga angkasawan berkenaan turut disambut kru Shenzhou-17 yang sedang bertugas di stesen angkasa itu.

Dua kru itu akan melakukan pertukaran syif dan bertugas bersama selama kira-kira lima hari untuk menyelesaikan pelbagai kerja yang ditetapkan.

Semasa bertugas di stesen angkasa lepas, kru Shenzhou-18 dijadual melakukan aktiviti luar kenderaan (EVA) sebanyak beberapa kali dan menjalankan uji kaji serta pengaplikasian melibatkan fizik asas mikrograviti, sains bahan angkasa, sains hayat angkasa, perubatan angkasa dan teknologi angkasa.

Kapal angkasa Shenzhou-18 dilancarkan dengan roket pembawa Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan pada 8.59 malam Khamis. Kira-kira 10 minit kemudian, kapal angkasa itu berjaya memasuki orbit yang disasarkan.

Ia juga merupakan misi penerbangan kali ke-518 bagi roket pembawa Long March.

--BERNAMA-CMG



TAG: kru, stesen angkasa, Shenzhou