KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KSM) komited untuk menyegerakan penambahbaikan di dalam aspek pengurusan dan penyelarasan dasar membabitkan pekerja asing bagi memastikan ia lebih berkesan.

Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata perkara itu akan diputuskan pada mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 16 Jan ini.

"Peranan KSM amat jelas dan telah diperakui oleh KDN, untuk mengawal atau menguruskan perangkaan bilangan pekerja asing yang dibenarkan di negara serta isu-isu pekerjaan, tempat tinggal dan hak pekerja (warga asing)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja buat julung kalinya ke Wisma Cuepacs di sini dan bertemu dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini.

Pada mesyuarat hari ini, Sim berkata antara perkara yang akan diperincikan dalam mesyuarat bersama dengan KDN minggu depan itu adalah usaha menambah baik sebarang kelompangan serta menyelaras dasar kedua-dua kementerian supaya isu pekerja asing diuruskan dengan lebih baik.

Selasa lepas, Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata satu mesyuarat bersama KSM akan diadakan pada 16 Jan ini untuk merangka formula pengurusan pekerja asing supaya perlaksanaannya lebih berkesan.

Mengulas mengenai dakwaan lebih 500,000 pekerja asing menganggur di dalam negara, Sim berkata pihaknya mengambil sikap terbuka mengenai dakwaan oleh Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) itu.

"Saya minta pihak-pihak yang berkaitan buat laporan secara rasmi supaya kita boleh ambil tindakan (mengenai dakwaan tersebut)," katanya sebagai mengulas dakwaan yang dikemukakan oleh Setiausaha Agung PAPSMA Dr Sukumaran Nair.

Sementara itu, Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata kunjungan Menteri Sumber Manusia hari ini mencerminkan prinsip dan kesungguhannya untuk sentiasa bersama warga pekerja.

-- BERNAMA