KUALA KANGSAR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mendahului senarai 22 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke-66 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, yang disambut Nov tahun lalu.

Senarai penerima itu merupakan sebahagian daripada 212 penerima yang diumumkan pada 3 Nov tahun lalu.

Mohd Zuki, 60, yang dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-15 pada 1 Jan 2020, dikurniakan Darjah Dato' Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultan Nazrin berkenan mengurniakan kebesaran dan pingat itu dalam satu istiadat di Istana Iskandariah, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@ Abd Rasid menerima Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS), yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Selain itu 14 penerima dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Ketua Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Abdul Rahman Thobroni Mohd Mansor; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London Datuk Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Rosli Isa; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Anis Rizana Mohd Zainudin@Mohd Zanuddin; dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Jaafar Sidek Abdul Rahman.

Turut menerima darjah tersebut Pengarah Pembagunan Negeri Perak Shamshuzaman Sulaiman; Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu, Jabatan Kerja Raya Ir Zukipli Nasri; Pakar Perunding Perubatan Penyakit Berjangkit, Hospital Raja Permaisuri Bainun Dr Ker Hong Bee; serta Ketua Jabatan Bedah Kardiothorasik Institut Jantung Negara, Dr Alwi Mohamed Yunus.

Manakala penerima lain ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd Datuk Dr Hussamudin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif, Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd Mubarak Ali Gulam Rasul; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Universiti Sunway Prof Dr Lee Fuh Yen; dan Presiden Selangor and Federal Territory Eurasian Association, Sheila Eleanor De Costa.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam Allahyarham Datin Paduka Prof. Dr Mehrun Siraj yang diwakili suaminya Datuk Sulaiman Abdullah, menerima pingat yang sama secara anumerta.

Lima lagi penerima menerima darjah Dato' Pahlawan Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan iaitu Grup Jurutera Medan Markas Pemerintahan Medan Barat, Tentera Darat Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa; Penasihat Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Kementerian Pertahanan Malaysia Brigedier Jeneral Safwan@Asri Ismail; Kor Kesihatan Diraja Markas Tentera Darat, Inspektor Jeneral Dr Mohd Ghazali Mohd Taha.

Turut menerima Inspektor Jeneral Angkatan Tentera Malaysia, Laksamana Muda Abd Halim Shaari; dan Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontijen Perak SAC Shazeli Kahar.

-- BERNAMA