KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melanjutkan perkhidmatan Shuttle Selatan bagi laluan Paloh-JB Sentral-Paloh mulai 8 Ogos ini.
KTMB dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, peluasan itu melibatkan tujuh stesen, iaitu Paloh, Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai, Kempas Baru dan JB Sentral, dengan perjalanan dari Paloh ke JB Sentral mengambil masa kira-kira 120 minit.
Menurut KTMB, lanjutan perkhidmatan itu merupakan inisiatif strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menghubungkan kawasan pinggir bandar secara terus dengan hab ekonomi utama di Kulai dan JB Sentral.
"Peluasan yang dilaksanakan dalam tempoh kurang tiga bulan sejak fasa awal itu akan merentasi koridor tengah Johor menerusi pemanfaatan sebahagian jajaran Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB),” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan, perkhidmatan baharu itu menawarkan 10 perjalanan sehari, meliputi lima perjalanan dari Paloh ke JB Sentral dan lima perjalanan dari JB Sentral ke Paloh dengan kapasiti sehingga 400 penumpang bagi setiap perjalanan.
Perjalanan pertama dari Paloh dijadualkan berlepas pada 3.55 pagi dan tiba di JB Sentral pada 5.52 pagi, manakala perjalanan terakhir dari JB Sentral berlepas pada 8.30 malam dan tiba di Paloh pada 10.27 malam.
"Susunan jadual pada awal pagi dan waktu malam ini dirangka bagi menyokong keperluan pengguna harian, termasuk pekerja yang meneruskan perjalanan ke Singapura melalui pintu masuk sempadan di Johor Bahru," menurut kenyataan itu.
Menurut KTMB, penyelarasan perjalanan turut disediakan di Stesen Kempas Baru bagi membolehkan pengguna membuat pertukaran ke laluan Kempas Baru-Pasir Gudang-Kempas Baru, sekali gus memperkukuh hubungan antara koridor Paloh-Kluang-Kulai-Johor Bahru dengan kawasan perindustrian Pasir Gudang.
Sementara itu, kadar tambang promosi turut diperluaskan kepada pengguna Shuttle Selatan sehingga tren elektrik baharu diterima. Tambang bagi laluan Paloh-JB Sentral yang sebelum ini berharga RM15.30 ditawarkan pada kadar promosi RM7.70 bagi perjalanan sehala.
KTMB berkata, Pas MyRailLife turut dilanjutkan bagi perkhidmatan Shuttle Selatan mulai 8 Ogos hingga 31 Dis ini, melibatkan perjalanan percuma untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun, murid sekolah Tahun Satu hingga Tingkatan Enam serta Orang Kurang Upaya (OKU), tertakluk kepada terma dan syarat.
KTMB berkata, peluasan perkhidmatan itu dijangka menyokong pergerakan tenaga kerja, merancakkan aktiviti ekonomi serta perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Sejak diperkenalkan, perkhidmatan Shuttle Selatan merekodkan 3,209 penumpang bagi dua laluan awal, sekali gus menunjukkan sambutan positif masyarakat terhadap pilihan pengangkutan awam rel yang lebih mudah dan selesa.
-- BERNAMA