KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperluaskan akses perkhidmatan EMUPlus ke Klang bagi membolehkan pengguna di Lembah Klang menikmati perjalanan terus ke Ipoh dengan lebih mudah, selesa dan praktikal bemula minggu ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri dalam kenyataan berkata laluan itu melibatkan hentian di Klang, Shah Alam, Subang Jaya, KL Sentral dan seterusnya ke Ipoh.
Advertisement
“Pengguna di Klang, Shah Alam dan Subang Jaya kini boleh memulakan perjalanan menggunakan EMUPlus lebih dekat dengan komuniti mereka tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama seperti KL Sentral,” katanya.
Beliau berkata penumpang boleh mendapatkan tiket bagi perjalanan pada 17 hingga 19 April ini dengan tambang bermula serendah RM45 sehala, sekali gus menawarkan nilai perjalanan yang lebih berbaloi dan menjimatkan.
Bagi menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan itu, Azlan Shah berkata EMUPlus dirancang beroperasi pada setiap hujung minggu, musim cuti panjang, serta musim perayaan, tertakluk kepada keperluan dan perancangan operasi semasa.
“Pengenalan akses baharu ini mencerminkan komitmen KTMB dalam mendekatkan perkhidmatan EMUPlus kepada rakyat, di samping memperkukuh keterhubungan antara bandar serta memperkayakan pengalaman perjalanan rel secara menyeluruh,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan jadual perjalanan dan pembelian tiket melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang serta saluran media sosial rasmi KTMB.
-- BERNAMA