Kuasa menteri lantik lembaga pengarah agensi MAFI dalam proses pembatalan - Ronald

Pemberian kuasa kepada menteri untuk melantik AJP NAFAS, PPN dan PPK kini dalam proses pindaan bagi maksud pembatalan.

Jelas Ronald, peningkatan pengeluaran makanan dalam negara boleh mengurangkan imbangan dagangan negara. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR | Astro Awani
Pemberian kuasa kepada menteri untuk melantik Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) kini dalam proses pindaan bagi maksud pembatalan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan peranan pertubuhan peladang di bawah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 (Pindaan) 2019 yang diwartakan pada 22 April dan berkuatkuasa pada 1 Mei 2019 lepas.

"Saya berpendapat bahawa kuasa memilih kepimpinan hendaklah dikembalikan kepada ahli peladang sendiri.

"Pindaan ini akan dikuatkuasakan pada tahun pemilihan yang akan datang iaitu pada tahun 2021 yang mana mengembalikan kuasa memilih kepimpinan peladang diserahkan kembali kepada ahli peladang sendiri seperti mana peraturan yang terdahulu," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di sini, pada Khamis.

Turut diadakan penyerahan peruntukan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) LPP 2020.

Dalam pada itu jelas Ronald, peningkatan pengeluaran makanan dalam negara mampu membantu mengurangkan imbangan dagangan negara.

Katanya, pendekatan ke hadapan dalam meningkatkan pengeluaran makanan adalah melalui penggunaan teknologi dan mekanisasi pertanian.

"Saya juga berharap lebih banyak kejayaan para peladang, penternak dan nelayan dicapai agar ianya mampu menarik minat golongan muda untuk turut sama menceburi bidang ini.

"Penglibatan golongan muda juga perlu dipertingkatkan agar sektor pertanian ini akan lebih ke hadapan dan mampu melangkah dengan lebih jauh," katanya lagi.

Ujarnya, ia mampu melipatgandakan pengeluaran dengan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan setiap projek pertanian.