KUCHING: Penganjuran Kuching Marathon 2026 pada Ahad ini dibatalkan susulan jerebu yang melanda Kuching dan kawasan sekitarnya.
Persatuan Kuching Marathon (KMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selepas penganjur memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan petunjuk persekitaran lain secara berterusan sejak jerebu mula melanda pada awal bulan ini.
Penganjur berkata mereka juga telah merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan dan mendapatkan nasihat perubatan sebelum membuat keputusan itu.
“Selepas membuat penilaian teliti, penganjur memutuskan kesihatan serta keselamatan semua pihak termasuk peserta, kru, sukarelawan, pegawai, pasukan perubatan dan orang awam mesti diutamakan,” menurut kenyataan itu.
KMA memaklumkan mereka menyedari keputusan itu mengecewakan peserta yang telah membuat pelbagai persiapan untuk menyertai acara tersebut.
Sebagai tanda penghargaan atas komitmen itu, peserta yang berdaftar boleh mengambil pingat dan kemeja-T penamat bermula esok di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka.
Jadual pengambilan dan arahan lanjut akan diumumkan di media sosial rasmi KMA hari ini.
KMA juga memohon maaf atas kekecewaan yang berlaku dan berterima kasih kepada semua peserta serta pihak yang terlibat atas kesabaran dan sokongan berterusan mereka.
Penganjur menegaskan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti kekal menjadi keutamaan mereka.
-- BERNAMA