Biarpun ekonomi dunia diramal bertambah baik tahun ini, namun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kepentingan mengukuhkan daya tahan negara bagi berdepan suasana dunia yang tidak menentu.

"Menurut ramalan Bank Dunia, tahun 2017 ini boleh dikatakan ekonomi dunia mungkin lebih baik daripada 2016, iaitu pertumbuhan sebanyak 3.4 peratus banding 3.15 peratus pada 2016.

"Namun kita sebagai sebuah negara akan menghadapi faktor-faktor luaran yang masih tidak menentu.

"Antaranya, pasaran global kewangan yang sukar diramal, kadar pertumbuhan ekonomi maju yang masih perlahan dan dasar-dasar baharu pentadbiran Amerika Syarikat yang boleh memberi kesan kepada kita dan dunia," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Untuk tujuan berkenaan, Najib yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan sistem penyampaian berkesan bagi mengukuhkan daya tahan negara.

"Antara faktor asas yang boleh menyumbang kepada daya tahan nasional ialah kemampuan kita sebagai kerajaan untuk melaksanakan dan menyampaikan segala projek dan program serta bantuan kepada rakyat.

"Inilah faktor-faktor asas yang boleh kita kawal.

"Bercakap tentang sistem penyampaian berkaitan produktiviti, sebagai seorang penjawat awam dan individu, kita mesti melihat bagaimana keberhasilan kita tambah lebih berkesan.

"Komitmen kita juga perlu bertambah, dalam sikap dan minda, supaya membuat keputusan dengan cepat dan tepat," katanya.