KUALA LUMPUR: Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor menyifatkan penyatuan kekuatan syarikat dalam kumpulan itu penting bagi memastikan pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026 hingga 2030 digerakkan secara lebih tersusun dan bersepadu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Saipolyazan M Yusop berkata, pendekatan itu membolehkan aset, modal, kepakaran, rangkaian industri dan keupayaan setiap syarikat digembleng mengikut keutamaan pembangunan negeri.
Bagaimanapun, katanya, penyatuan kekuatan tidak bermaksud operasi semua syarikat perlu diseragamkan.
Sebaliknya, setiap syarikat kekal mempunyai kebebasan untuk beroperasi dan menentukan kaedah mencapai sasaran, selagi hala tuju, pelaburan, risiko serta tadbir urus kumpulan dipatuhi.
“Kita ada kekuatan dan bagaimana kami nak selaraskan kekuatan itu untuk jadikan sumber tersebut dan kekuatan tersebut bagi memastikan sumbangan itu memberi satu kejayaan besar kepada RS-2,” katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam program Agenda AWANI semalam.
Menurut Saipolyazan, Selangor mempunyai pelbagai kelebihan strategik termasuk dua lapangan terbang utama, pelabuhan, jaringan lebuh raya, infrastruktur data serta bekalan air dan elektrik yang mencukupi.
Selain itu, katanya, negeri berkenaan turut mempunyai institusi pendidikan dan latihan seperti Universiti Industri Selangor (UNISEL) serta Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) yang mampu menyumbang kepada pembangunan bakat dan tenaga mahir.
Kumpulan MBI Selangor kini menetapkan hala tuju bagi 27 syarikat milikan penuh yang diletakkan di bawah 10 divisyen.
Divisyen berperanan menyusun keutamaan sektor, manakala setiap syarikat melaksanakan strategi berdasarkan kepakaran dan kekuatan masing-masing.
Saipolyazan berkata, nilai sesebuah kumpulan korporat bukan sekadar bergantung kepada jumlah syarikat yang dimiliki, sebaliknya pada keupayaan menggabungkan aset, modal, teknologi, kepakaran industri dan rangkaian pasaran.
Katanya, projek pembangunan ketika ini semakin kompleks dan memerlukan gabungan pelbagai kepakaran, termasuk pembiayaan, teknologi, infrastruktur, pelaburan serta pembangunan bakat.
Pendekatan pembangunan bersepadu itu turut diterapkan menerusi projek seperti Sabak Bernam Development Area (SABDA) dan Pelabuhan Carey, yang mempunyai implikasi lebih luas terhadap pertumbuhan wilayah, perdagangan global, logistik serta keterjaminan makanan.
“Mengambil contoh pembangunan SABDA, perhatian turut diberikan kepada aspek keterjaminan makanan, akuakultur dan potensi pelancongan termasuk sektor inap desa.
“Bagaimana nak pastikan dengan keadaan sekarang ini, pelanggan rasa selamat tinggal di inap desa. Jadi kami laksanakan program pemutihan untuk kira-kira 200 inap desa, kini sedang berjalan dan hampir mencapai 100 peratus,” katanya lagi.
Tambahnya, kesemua usaha berkenaan akhirnya perlu menyumbang kepada sasaran RS-2 untuk memastikan pertumbuhan ekonomi Selangor lebih seimbang dan berdaya tahan, selain membuka peluang lebih luas kepada rakyat.
RS-2, yang diluluskan Dewan Negeri Selangor pada 13 Ogos, menjadi dasar pembangunan negeri bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Pelan berkenaan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pengurangan jurang pembangunan antara daerah serta peningkatan kualiti hidup rakyat.