SEKINCHAN: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat mahu meningkatkan kuota pengeluaran benih padi NMR 152 yang dianggap masih rendah dan belum mencukupi.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata kuota tahunan pengeluaran benih baka baharu padi itu hanya belasan ribu metrik tan di seluruh negara, di samping benih itu turut mendapat permintaan tinggi daripada pesawah terutama dari Selangor dan Perak.

"Benih itu menjadi pilihan pesawah kerana padinya berproduktiviti tinggi selain tahan penyakit, cuaca ekstrem, kemarau dan banjir.

"Susulan itu, kementerian berhasrat kuota pengeluarannya perlu ditingkatkan sehingga 30 peratus di setiap negeri berbanding hanya 10 hingga 20 peratus ketika ini," katanya ketika pemberita selepas lawatan kerja ke Tapak Projek Penyelidikan Padi NMR 152 di Kampung Sungai Leman, di sini, pada Ahad.

Katanya, benih NMR 152 mampu mengeluarkan hasil tanaman hingga 10 tan sehektar berbanding kadar purata hasil padi lain sekitar enam tan sehektar di kawasan tanaman sama.

Menurut Chang, pihaknya akan membincangkan isu mengenai benih berkenaan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

"Kita mempunyai pelbagai variati benih padi dan masalah utama NMR 152 adalah melibatkan kuota pengeluarannya. Selain itu, pengeluaran benih berkenaan tidak begitu cepat dan kita perlu merancakkan lagi usaha bagi mengatasi masalah tersebut dengan kerjasama KPKM," katanya.

Benih NMR 152 hasil kajian dari Agensi Nuklear Malaysia dibawah MOSTI sejak 15 tahun lalu menggunakan aplikasi teknologi nuklear dan penyaringan ketat selain pemilihan baka khusus mengikut garis panduan Penghasilan Benih Padi Sah Negara.

-- BERNAMA