KOTA KINABALU: Kurang 24 jam dipercayai terlibat dalam jenayah bunuh, polis menahan seorang lelaki di rumah sewanya di Kampung Bambangan, Inanam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa pada malam Selasa.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek turut membuat pengakuan terlibat dalam kes kematian membabitkan mangsa berusia 25 tahun itu.

“Berdasarkan pengakuan dan barangan yang dirampas, polis percaya kes bunuh seorang lelaki di kawasan semak di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi, selesai sepenuhnya.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan sebelum pendakwaan terhadap suspek dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.



Tambah Mohd Zaidi, berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa dikatakan dihantar bapanya ke lokasi kejadian untuk bertemu dengan seorang pemilik bengkel kira-kira jam 1 petang.

"Selepas itu, mangsa juga sempat menghantar lokasi menerusi aplikasi WhatsApp kepada bapanya, namun usaha mencari mangsa selepas itu gagal,” katanya lagi.

Difahamkan, sebelum laporan polis dibuat, ahli keluarga mangsa telah membuat pencarian di lokasi sebelum menemukan mayatnya.

Selain itu, hasil pemeriksaan awal yang dijalankan Unit Kecemasan Hospital Likas mengesahkan mangsa dipercayai mati dalam tempoh lebih enam jam sebelum ditemui akibat dijerut di leher.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa kini dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi proses bedah siasat selepas mendapatkan keputusan ujian saringan COVID-19.

Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.