BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bercadang memperkasakan gerakan koperasi di peringkat sekolah dan institusi pendidikan sebagai sekolah perniagaan peringkat awal bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.
Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk merealisasikan inisiatif tersebut agar pelajar mendapat pendedahan praktikal mengenai selok-belok dunia perniagaan.
Advertisement
"Saya mahu galakkan koperasi sekolah menjadi medan untuk pelajar belajar bagaimana berurusan dengan saham, menguruskan mesyuarat agung serta merangka strategi perniagaan.
"Saya mencadangkan agar koperasi memberikan ganjaran dalam bentuk pegangan saham kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan sebagai galakan untuk mereka mendekati gerakan koperasi, selain pemberian piala atau pingat sedia ada," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Beliau ditemui selepas Majlis Pra Peluncuran Inisiatif Koperasi Sebagai Pusat Pengambilan Sendiri Shopee di Koperasi Politeknik Seberang Perai Bhd (KopPSP).
Mengulas lanjut, Sim berkata gerakan koperasi perlu berpaksikan kepada tiga nilai utama iaitu membangunkan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan membina perpaduan tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik.
Selain inisiatif KopPSP, Sim turut mengumumkan pelantikan Angkasa Mart di Tasek Gelugor sebagai Pusat Pengambilan Sendiri bagi syarikat Shopee.
"Inisiatif ini amat bertepatan dengan lonjakan budaya membeli-belah dalam talian pasca pandemik. Bagi pelajar di KopPSP yang berjumlah kira-kira 3,500 orang, mereka kini boleh mengambil pesanan terus di koperasi tanpa perlu keluar jauh.
"Dari sudut ekonomi, kerjasama ini dijangka memberikan pendapatan tambahan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan kepada pihak koperasi melalui komisen perkhidmatan yang disediakan tanpa melibatkan kos operasi yang besar," katanya.
Sim berkata, setakat ini terdapat kira-kira 60 koperasi di seluruh negara yang telah berfungsi sebagai pusat koleksi tersebut dan KUSKOP menyasarkan jumlah itu meningkat kepada sekurang-kurangnya 100 buah koperasi menjelang akhir tahun ini.
-- BERNAMA