Skip to main content

Malaysia

KUSKOP pastikan usahawan PMKS dapat akses pembiayaan, salur RM60 bilion tahun ini

ALOR SETAR, 16 Julai -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong menyampaikan ucapan perasmian Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di sini hari ini.  Beliau berkata kementeriannya komited memastikan usahawan PMKS mendapat akses kepada pembiayaan dengan lebih cepat dan mudah melalui pelbagai langkah penambahbaikan.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sim menyampaikan ucapan perasmian pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di Alor Setar, 16 Julai 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

ALOR SETAR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memastikan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapat akses kepada pembiayaan dengan lebih cepat dan mudah melalui pelbagai langkah penambahbaikan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM60 bilion bagi memenuhi permintaan dan membantu usahawan PMKS untuk berkembang serta meningkatkan daya saing khususnya di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata peningkatan peruntukan itu adalah hasil usaha kementerian bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan lebih banyak dana tersedia untuk membantu usahawan khususnya ketika berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia.

“Apabila saya masuk ke KUSKOP, perkara pertama yang saya lakukan ialah memastikan lebih banyak dana tersedia untuk PMKS. Masalah sering berlaku ialah apabila usahawan memerlukan pembiayaan, mereka tidak tahu di mana hendak mendapatkan bantuan.

“Kita mahu pastikan dana itu tersedia supaya usahawan boleh mendapatkannya dengan cepat dan mudah,” katanya ketika berucap pada Taklimat Pembiayaan dan Akses Pasaran PMKS di sini semalam.

Beliau berkata selain meningkatkan jumlah pembiayaan, KUSKOP turut memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kerenah birokrasi dalam proses permohonan pembiayaan.

Katanya, institusi kewangan di bawah kementerian, termasuk SME Bank, disaran mempercepat proses membuat keputusan bagi pembiayaan bernilai RM1 juta dan ke bawah dengan sasaran dalam tempoh 14 hari.

“Saya tahu ada yang mungkin berkata sasaran 14 hari itu sukar dicapai, tetapi kalau kita tidak menetapkan sasaran 14 hari, proses itu mungkin mengambil masa hingga 14 bulan.

“Ini adalah aspirasi kita untuk memastikan proses pembiayaan menjadi lebih cepat dan mesra usahawan,” katanya.

Dalam ucapannya, Sim turut mengumumkan kenaikan pembiayaan di bawah Program Pembiayaan Khas Perusahaan Mikro Milikan Cina (BERKAT) daripada RM30,000 kepada RM100,000.

Sementara itu pada majlis sama, Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Teng Chang Khim berkata PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara dengan hampir 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di negara ini terdiri daripada PMKS.

“Di Kedah, dianggarkan terdapat 49,663 PMKS yang merangkumi 4.6 peratus daripada keseluruhan PMKS di Malaysia. Kedah mempunyai kelebihan dalam sektor agromakanan, pemprosesan makanan, teknologi pertanian, pembuatan serta perkhidmatan.

“Potensi ini membuka ruang kepada PMKS untuk meningkatkan nilai tambah produk, memperkukuh daya saing serta memperluas pasaran di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement