KUALA LUMPUR: Isu kutipan zakat merentasi sempadan negeri perlu dilihat daripada perspektif tadbir urus, amanah dan tanggungjawab sosial bagi memastikan manfaatnya disalurkan secara optimum kepada golongan asnaf mengikut keperluan setiap negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata peruntukan undang-undang dan enakmen pentadbiran agama Islam setiap negeri bukan bertujuan mewujudkan persaingan antara institusi zakat, sebaliknya memastikan kutipan serta agihan dapat diurus secara teratur, telus dan berkesan.
"Setiap negeri mempunyai cabaran sosioekonomi yang berbeza. Sebab itu kutipan zakat diurus oleh institusi yang diberi kuasa supaya dana yang diterima dapat dirancang mengikut keperluan sebenar masyarakat setempat.
“Ia bukan soal siapa mengutip, tetapi bagaimana amanah itu diurus dengan sebaiknya demi kepentingan asnaf," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Hakim berkata Wilayah Persekutuan berdepan cabaran kemiskinan bandar yang semakin kompleks apabila sebahagian asnaf terdiri daripada individu yang mempunyai pekerjaan tetapi masih bergelut dengan kos sara hidup tinggi.
Beliau berkata golongan itu termasuk pekerja gig, penghantar makanan, pemandu e-panggilan, pekerja kontrak serta pasangan muda di Projek Perumahan Rakyat (PPR), yang terpaksa melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menampung keluarga.
"Ramai yang melihat Kuala Lumpur sebagai bandar yang penuh dengan peluang, tetapi di sebalik pembangunan itu masih ramai yang bekerja keras siang dan malam, malah ada yang melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk menyara keluarga.
“Mereka bukan tidak berusaha, tetapi kos kehidupan bandar jauh lebih mencabar,” katanya.
Abdul Hakim berkata kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan atau kecemasan boleh menyebabkan golongan berkenaan bergantung kepada bantuan zakat, sekali gus menjadikan setiap ringgit zakat yang ditunaikan di Wilayah Persekutuan memberikan impak yang besar kepada masyarakat setempat.
Dalam memastikan amanah pembayar zakat terus terpelihara, beliau berkata PPZ-MAIWP turut memberikan perhatian khusus terhadap tadbir urus dan kualiti saluran kutipan, termasuk pemilihan ejen dan rakan strategik.
Beliau berkata setiap pelantikan dibuat melalui proses penilaian bagi memastikan pihak yang mewakili PPZ-MAIWP benar-benar memahami tanggungjawab serta amanah yang diberikan, bukannya untuk mengehadkan peranan mana-mana pihak, sebaliknya menjamin pengalaman pembayar, proses kutipan dan pengurusan dana zakat sentiasa berada pada tahap yang diyakini masyarakat.
"Masyarakat bukan sekadar membayar zakat, tetapi mengamanahkan harta mereka kepada kami. Amanah itu perlu dipelihara melalui sistem yang telus, boleh diaudit dan mematuhi undang-undang. Itulah sebabnya PPZ-MAIWP amat berhati-hati dalam setiap pelantikan ejen kutipan,” katanya.
Abdul Hakim berkata pengukuhan institusi zakat setempat tidak bermaksud mengetepikan keperluan umat Islam di negeri lain, sebaliknya memastikan setiap negeri mempunyai keupayaan menjaga kebajikan masyarakat di bawah tanggungjawab masing-masing.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan supaya terus menunaikan zakat melalui saluran yang sah dan rasmi bagi memastikan amanah dapat diurus secara teratur, telus dan berkesan.
“Kalau setiap negeri menjaga amanah masyarakatnya dengan baik, keseluruhan ekosistem zakat negara akan menjadi lebih kukuh. Kita mahu pembayar yakin bahawa zakat yang ditunaikan diurus dengan baik dan manfaatnya sampai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
-- BERNAMA