SHAH ALAM: Lafaz taklik seorang individu yang mahu menceraikan isterinya talak tiga sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan masih bertahan hingga Ogos tidak boleh ditarik balik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, dari sudut hukum, apa-apa pun taklik tidak boleh ditarik balik apabila telah dilafazkan.

Katanya, di bawah peruntukan undang-undang jelas menggariskan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik perlu difailkan di mahkamah syariah kerana ia diperuntukkan dalam enakmen semua negeri.

"Jadi dinasihatkan kepada isteri atau suami terbabit untuk memfailkan permohonan di mahkamah bagi mengesahkan penceraian tersebut.

"Hanya hakim syarie di mana pasangan terbabit bermastautin sahaja yang boleh menentukan sama ada taklik tersebut jatuh ataupun tidak," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook beliau pada Jumaat.

Mohd Na'im berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perbuatan seorang lelaki pada Februari lalu yang memaklumkan dia bertaklik menceraikan isterinya talak tiga jika Perdana Menteri dan kerajaan tidak bertukar pada Ogos.

Isu itu tular di media sosial dan menjadi persoalan ramai sama ada sama ada talak jatuh atau sebaliknya selepas berakhirnya bulan Ogos.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, apabila taklik dikaitkan dengan penceraian dengan talak tiga kepada seorang isteri, ia perkara yang amat tidak bertanggungjawab kerana isteri tidak boleh dijadikan objek atau pertukaran kepada sesuatu taklik.

"Isteri sepatutnya dinaikkan martabat. Islam sendiri telah menaikkan taraf seorang isteri dan wanita," tambahnya.

Sehubungan itu, Mohd Na'im menasihatkan agar golongan suami perlu bertanggungjawab dengan tidak melibatkan maruah isteri dalam lafaz jika melafazkan taklik.

"Yang kedua, kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh atau tidak jangan rujuk kepada pihak yang ketiga.

"Yang boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh atau tidak adalah hakim mahkamah syariah di mana pasangan itu bermastautin," ujarnya.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian