Lagi individu ditahan ingkar PKP, ini lima fokus utama kenyataan akhbar Ismail Sabri

Berikut merupakan lima perkara penting dalam kenyataan media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 12 Ogos 2020.

Ismail Sabri memaklum dua individu dikenakan tindakan kerana gagal patuhi SOP home quarantine. - Gambar fail | Astro Awani
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 182 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan 18 daripadanya direman manakala 162 lagi dikenakan kompaun atas beberapa kesalahan.

Berikut merupakan lima perkara penting dalam kenyataan media Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 12 Ogos 2020:

1) Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 67,113 pemeriksaan semalam (11 Ogos 2020) bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

2) PDRM telah membuat 70 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng di seluruh negara bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan berjaya menahan 10 individu atas kesalahan imigresen.

3) Seramai 9,984 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 61 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor.

4) PDRM juga telah melakukan 1,559 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine), dan dua individu telah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP home quarantine yang ditetapkan.

5) Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 697 premis perniagaan dan bekalan barangan keperluan disahkan mencukupi.