Skip to main content

Malaysia

Laluan sekitar jalan U Thant ditutup sementara bermula Isnin ini - DBKL

81744366784_tbDBKLLogo.jpg
Penutupan penuh melibatkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House dan laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf (berhampiran Kedutaan Iraq).
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beberapa laluan di sekitar Jalan U Thant akan ditutup sementara kepada semua lalu lintas bermula dari Isnin ini hingga 31 Januari tahun depan bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembinaan pipe jacking.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan penutupan penuh melibatkan laluan keluar dari Jalan U Thant ke Jalan Tun Razak berhampiran Regal House dan laluan masuk dari Jalan Tun Razak ke Jalan Langgak Golf (berhampiran Kedutaan Iraq).

Jalan Langgak Golf pula akan dijadikan laluan sehala bagi pergerakan keluar menuju ke Jalan Tun Razak.

Menurut DBKL, pengguna jalan raya dari arah Jalan Tun Razak yang ingin menuju ke Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf perlu menggunakan Jalan U Thant sebagai laluan masuk.

Pengguna dari kawasan Jalan U Thant, Jalan Taman U Thant, Jalan Maidge, Persiaran Ampang Hilir dan Jalan Langgak Golf yang ingin menuju ke Jalan Tun Razak pula dikehendaki menggunakan Jalan Langgak Golf sebagai laluan keluar.

"DBKL menasihati semua pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda serta arahan trafik yang disediakan, menggunakan laluan yang telah ditetapkan mengikut Pelan Pengurusan Trafik dan memandu dengan berhati-hati ketika melalui kawasan kerja pembinaan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement