Laluan Shuttle Tebrau berpotensi jadi laluan motosikal atau pejalan kaki - Exco

Mohamad Fazli Mohamad Salleh ketika ditemui Bernama di Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak, Iskandar Puteri, baru-baru ini. --fotoBERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Laluan KTM Shuttle Tebrau sepanjang 1.1 kilometer dilihat berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai laluan motosikal atau pejalan kaki yang lebih selamat sekiranya perkhidmatan kereta api itu ditamatkan susulan pengoperasian Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura tahun depan.
Ringkasan AI
- Cadangan untuk memanfaatkan laluan KTM Shuttle Tebrau sebagai laluan motosikal atau pejalan kaki lebih selamat jika perkhidmatan kereta api itu dihentikan susulan pengoperasian RTS Link Johor Bahru-Singapura tahun depan.
- Kerajaan negeri Johor menerima cadangan tersebut daripada orang awam dan pengguna Tambak Johor yang mahukan laluan itu terus dimanfaatkan serta mengambil kira nilai sentimental dari segi sejarah infrastruktur.
- Keputusan penamatan perkhidmatan Shuttle Tebrau bergantung kepada Kerajaan Persekutuan di bawah MOT kerana melibatkan perkhidmatan rentas negara, dengan perkhidmatan ini dijangka akan ditamatkan setelah pengoperasian RTS Link.
Beliau berkata cadangan itu antara yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan negeri, namun setakat ini belum diangkat kepada Kerajaan Persekutuan atau Kementerian Pengangkutan (MOT).
Mohamad Fazli berkata sebarang keputusan berhubung penamatan perkhidmatan Shuttle Tebrau bergantung kepada kerajaan Persekutuan di bawah MOT kerana ia melibatkan perkhidmatan rentas negara.
"Hal ini bergantung kepada keputusan terkini pihak MOT, cuma di peringkat kerajaan negeri, andai kata sistem atau perkhidmatan ini tidak diteruskan, kita ada beberapa cadangan berkenaan yang sedang dipertimbangkan," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata difahamkan berdasarkan perjanjian awal, perkhidmatan Shuttle Tebrau akan ditamatkan berikutan pengoperasian RTS Link kelak.
Perkhidmatan Shuttle Tebrau yang beroperasi sejak 1 Julai 2015 menghubungkan JB Sentral dan Woodlands Train Checkpoint (WTCP) dalam hanya lima minit perjalanan merentasi sempadan Malaysia-Singapura.
Perkhidmatan berkenaan dengan harga tiket RM5 sehala dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral mampu membawa sebanyak 8,635 penumpang sehari dengan kekerapan 31 trip untuk kedua-dua hala.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


