IPOH: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun memperkenalkan portal parlimentambun.my selaras usaha mempertingkatkan perkhidmatan membantu rakyat Tambun dan melancarkan proses penyampaian bantuan.

Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Tambun Muhammad Hairul Amir Sabri berkata inisiatif platform dalam talian itu memudahkan penduduk di kawasan berkenaan memohon bantuan pada bila-bila masa tanpa perlu berkunjung ke pusat khidmat wakil rakyat.

"Kita juga menyahut saranan kerajaan ke arah pendigitalan kerana ia dapat mempercepatkan perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan mengurangkan keperluan mereka untuk berkunjung ke kaunter> Namun kaunter fizikal tetap dibuka dan setiap aduan dari kaunter akan dimasukkan juga ke dalam portal," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Laman Sesawang Rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun dekat sini hari ini.

Menurut Hairul Amir, platform berkenaan juga turut diselaraskan dengan semua agensi dan jabatan kerajaan untuk tindakan lanjut setelah menerima aduan rakyat.

"Melalui laman web ini penduduk, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkaitan boleh mengemukakan permohonan bantuan atau aduan berkaitan kerosakan infrastruktur dan sebagainya.

"Kita akan teliti semua permohonan atau aduan tersebut dan sekiranya ia membabitkan mana-mana agensi kerajaan yang berkaitan, kita akan majukan kepada mereka untuk tindakan susulan. Setiap permohonan atau aduan kita akan cuba selesaikan dalam tempoh 14 hari bekerja ," katanya.

Katanya, pelancaran itu membuktikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun terus memperkasakan agenda membantu rakyat dengan meningkatkan akses orang ramai melalui pendigitalan dengan menjadikan prosedur lebih mudah dan cepat.

-- BERNAMA