KUALA LUMPUR: Sebuah van Balai Polis Bergerak dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dijangka ditempatkan di pekarangan kediaman Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, di sini, jam 7 pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penempatan van berkenaan adalah bagi membantu aspek keselamatan sepanjang proses kemasukan bekas Perdana Menteri itu ke kediamannya.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pergerakan Najib kembali ke kediaman berkenaan pada Isnin, namun masa dan lokasi rasmi masih belum dimuktamadkan.
“Jangkaan pergerakan beliau kembali esok (Isnin), tetapi belum dimuktamadkan sama ada salah satu kediaman rasmi yang berada di bawah daerah saya atau lokasi lain.
“Cuma, satu rumah di bawah kawasan saya dikenal pasti
“Cuma van tersebut tiba lebih awal hari ini dan akan diarahkan pulang, sepatutnya ditempatkan esok (Isnin) pada jam 7 pagi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Anuar Bakri berkata, penempatan anggota polis itu bukan bagi menjalankan kawalan keselamatan selama 24 jam selepas proses kepulangan Najib ke kediaman berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, Jabatan Penjara Malaysia akan mengambil alih penugasan berkenaan selepas Najib kembali ke kediaman itu, memandangkan tahanan beliau masih di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
“Penempatan ini adalah untuk menjaga keselamatan pergerakan (Najib) dengan kekuatan seorang penyelia dan dua anggota Unit Rondaan Bermotosikal (MPV),” katanya.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Jumaat lalu berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara itu di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Kes yang telah disabitkan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd manakala kes yang masih dalam perbicaraan ialah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) iaitu di peringkat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan dianggotai Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan serta tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.
Pada Julai 2020, Najib yang disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang kemudian dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Namun, pada 2 Februari 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, daripada 12 tahun ke enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.