AMPANG: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan termasuk merogol seorang remaja perempuan warga Uzbekistan dalam kenderaan peronda polis, minggu lalu.

Muhammad Fazrul Razzi Yunus, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Norshila Kamaruddin.

Mengikut semua pertuduhan, bapa kepada dua anak berusia empat dan setahun itu didakwa merogol, bersetubuh luar tabii, melakukan hubungan seks dan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan warga Uzbekistan, berusia 17 tahun tiga bulan, tanpa kerelaannya.

Tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1), 377C dan 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan amang seksual, dia dituduh mengikut seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di dalam kereta peronda polis, di tepi Jalan Persiaran Saujana Ampang, di sini pada jam 10.30 malam, 9 Januari lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

“Kami turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, G Visvanathan Nair yang mewakili Muhammad Fazrul, membantah cadangan ikat jamin itu kerana ia terlampau tinggi.

“Anak guam merupakan seorang anggota polis, maka tiada risiko untuk melarikan diri, selain telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Mohon ikat jamin diberi pada kadar minimum kerana dia mempunyai penyakit saraf dan otot, perlu menyara isteri dan dua anaknya yang masih kecil, termasuk ibu bapanya yang telah berusia,” katanya.

Norshila kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan seperti dicadangkan tertuduh.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, Muhammad Fazrul dan rakan sekerjanya, Konstabel Muhammad Adib Aikal Sharul Nizam, 24, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada teman (lelaki tempatan) mangsa rogol itu.

Ia membabitkan pemerasan untuk menyebarkan rakaman video kedua-dua pasangan itu sedang bercumbu sehingga mendorong pelajar lelaki itu menyerahkan RM500 kepada polis terbabit.

Kesalahan dilakukan di tepi Jalan Ampang Hillview, di sini pada jam 10.09 malam, 9 Januari lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 384 dan dibaca bersama Sesyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit jika disabitkan kesalahan.

Peguam Kee Wei Lon yang mewakili Muhammad Adib Aikal sementara Visvanathan Nair, merayu ikat jamin diberi ikat jamin pada kadar munasabah.

Majistet, Amalina Basirah Md Top membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan tidak mendekati mangsa dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 12 Mac ini untuk sebutan semula kes.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian