KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua lelaki yang disyaki terbabit kes rogol tahun lepas.

Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, yang berasal dari Dungun memohon supaya dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bertugas di Balai Polis Dungun telah memperoleh wang tunai RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dua individu yang terlibat dengan kes rogol, di Kedai Makan Hjh Hanisah Bt Taib di Jalan Baru Pak Sabah, Kampung Sura di Dungun pada 3.15 petang 30 Mei 2021.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memperoleh RM2,000 daripada seorang lagi lelaki untuk tujuan sama di Tapak Pasar Malam Sura Gate di Dungun pada 9.40 malam 23 Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama bagi kedua-dua pertuduhan.

Norazmi Afiq juga berhadapan dakwaan meminta suapan berjumlah RM10,000 iaitu masing-masing RM5,000 daripada dua individu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit kes rogol dalam daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

Bagi tuduhan itu, anggota yang masih belum berkahwin itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Hakim Dazuki membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan diarahkan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan selain mengarahkan tertuduh menyerahkan passport kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz, manakala tertuduh diwakili peguam Najmi Adila Mat Nasir. Mahkamah menetapkan 17 Mei untuk sebutan kes.

-- BERNAMA