Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang anggota polis di Sungai Abong, Muar pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat, berkata semua suspek ditahan di satu lokasi di Batu Pahat kira-kira jam 12.45 tengah hari Sabtu.

"Saya mengesahkan pihak polis sudah menahan enam lelaki dan dua perempuan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang anggota polis di Sungai Abong pagi tadi.

"Siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam kejadian pada kira-kira 9 pagi Sabtu, mayat Koperal Roydin Jamaludin, 32, yang berpakaian lengkap ditemui dalam parit di Sungai Abong, Muar oleh orang ramai.

Siasatan awal mendapati terdapat kesan luka ditubuh mangsa.

Mangsa sebelum itu dipercayai dikejar sekumpulan lelaki selepas dikatakan meleraikan satu pergaduhan sebelum itu.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

BACA: Anggota polis ditemui mati dalam parit