KULAI: Sekurang-kurangnya lapan kenderaan remuk selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 38.4 Lebuhraya Utara-Selatan (Arah Selatan) di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun, nahas pada jam 2.30 petang itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa dan kesemua mangsa dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yow berkata, kemalangan dipercayai berlaku disebabkan sebuah kenderaan jenis Proton Preve telah melanggar belakang sebuah kenderaan jenis Toyota Camry yang berhenti pada ketika itu.

"Perlanggaran tersebut menyebabkan kenderaan Toyota Camry berkenaan telah bergerak ke hadapan dan berlanggar kenderaan lain di hadapannya.

"Perkara sama berlaku kepada kenderaan lain di hadapan dimana pelanggaran ini melibatkan lapan buah kereta.

"Tiada sebarang kecederaan dialami oleh semua pemandu serta penumpang yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Jelas Beng Yow, kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Polis daerah Kulai menasihati orang ramai agar berhati-hati ketika memandu, mematuhi had laju dan sentiasa menjaga jarak kenderaan masing-masing," tambahnya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 8 saat memaparkan deretan lapan buah kenderaan terlibat kemalangan di Kilometer 38.4 Lebuhraya Utara-Selatan pada Sabtu.