TAWAU: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba melarikan diri ketika baru mendarat di Jambatan 2, Kampung Kurnia Jaya Tawau Sabah berjaya ditahan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) pada tengah malam Isnin.

Komander ATB2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata dalam kejadian pada jam 12.15 tengah malam Radar Coastal Surveillance System (CSS) yang dikendalikan ATB2 mengesan sebuah bot dari luar sempadan perairan memasuki perairan negara.

Katanya, susulan pengesanan itu, pasukan tindakan pantas yang sedang melaksanakan rondaan Op Benteng Bersama diatur gerak ke lokasi kejadian.

"Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot laju tersebut memecut lari ke arah sempadan perairan lalu menurunkan kesemua penumpang yang dipercayai PATI.

"Kesemua lapan PATI yang berumur 1 hingga 52 tahun bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan pihak berkuasa," katanya dan memberitahu kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Siasatan awal secara lisan di lokasi kejadian PATI tersebut mengakui tujuan utama mereka memasuki Malaysia adalah untuk mencari pekerjaan dan kemasukan mereka ke Tawau diatur oleh ejen dari Tawau untuk terus dihantar ke destinasi yang ditetapkan

Semua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk proses saringan COVID-19 dan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.