KUALA LUMPUR: Lapan termasuk seorang wanita warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan tawaran kerja tidak wujud yang menyasarkan rakyat di United Kingdom.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata kesemua suspek berusia lingkungan 16 hingga 28 tahun ditahan di dua unit kondominium di kawasan Taman Wahyu Jinjang, di sini, Selasa lepas.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket yang mula aktif sejak Januari tahun ini akan menghantar pesanan ringkas secara rawak melalui aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan iklan pekerjaan dalam talian kepada rakyat di United Kingdom dengan menggunakan nombor telefon negara itu.

"Setelah mangsa membalas dan menyatakan bahawa berminat dengan tawaran kerja, mangsa diminta untuk mendaftar akaun di pautan 'Globesailor V88'. Dalam pautan tersebut mangsa diarahkan untuk menyelesaikan tugasan seperti 'like' iklan-iklan tertentu dengan pembayaran deposit dalam matawang kripto USDT.

"Mangsa ditawarkan komisyen sebanyak 0.5 peratus hingga lima peratus bagi setiap tugasan yang berjaya. Sindiket akan memberikan resit yang telah diubah suai untuk menyakinkan mangsa bahawa pembayaran komisen telah dibuat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.

Ahmad Sukarno berkata sindiket itu dianggarkan menggaut keuntungan sehingga US$3,000 sehari dan pihaknya akan meneruskan siasatan untuk mengesan sekiranya terdapat saki-baki rangkaian sindiket terbabit yang berpusat di negara ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman empat hari bermula semalam. hingga Sabtu ini.

Dalam kes berasingan, Ahmad Sukarno berkata seorang lelaki warga Myanmar yang merupakan Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berusia 50 tahun diberkas kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

Beliau berkata pekerja kilang itu ditahan di Taman Wilayah Selayang pada 10.15 malam, 3 Feb lepas dan polis turut merampas 42 paket plastik berisi pil yaba serta 28 botol berisi bahan disyaki dadah jenis kodein dengan anggaran nilai rampasan RM45,140.

Katanya suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari rakan di Thailand dan hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan benzo.

Ahmad Sukarno berkata suspek direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA