KUALA LUMPUR: Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) merekodkan pertambahan pergerakan penumpang sebanyak lima peratus, meningkat kepada 328,000 daripada 313,000 penumpang pada bulan sebelumnya.

Malaysia Airport Holdings Bhd berkata Pulau Pinang terus mempamerkan daya tarikannya sebagai destinasi pelancongan utama meskipun bulan Mac bukan waktu puncak kemasukan pelancong.

"Peningkatan itu disumbang oleh kemasukan syarikat penerbangan baharu, Fly Dubai, yang mengendalikan penerbangan terus setiap hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai," kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ketika ini terdapat sebanyak 19 syarikat penerbangan antarabangsa yang menyediakan perkhidmatan ke 16 destinasi global melalui 514 penerbangan setiap minggu, beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Daya tarikan lapangan terbang itu kekal kukuh apabila berjaya menarik syarikat penerbangan baharu seperti Thai Lion Air yang akan mengendalikan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan PEN-Don Mueng bermula bulan ini.

Selain PEN, Malaysia Airports Group juga secara keseluruhannya mencatatkan prestasi trafik yang tinggi dengan 10.2 juta pergerakan penumpang direkodkan pada Mac 2024, merangkumi 7.1 juta di Malaysia dan 3.1 juta di Turki.

Kumpulan itu mencatatkan 3.8 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan 3.2 juta domestik bagi operasi di Malaysia.

Sementara itu, aset kumpulan di Turkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, mengekalkan jumlah penumpang yang stabil pada 3.1 juta pada Mac 2024, terdiri daripada 1.7 juta penumpang antarabangsa dan 1.4 juta domestik, membuktikan kepentingan lapangan terbang itu sebagai hab utama bagi perjalanan domestik dan antarabangsa.

Prestasi trafik suku tahunan kumpulan juga mencapai kemajuan, mencatatkan kadar pemulihan melepasi 90 peratus pada suku pertama 2024 dengan 31.4 juta penumpang berbanding suku pertama 2019.

-- BERNAMA