Skip to main content

Malaysia

Laporan akhir insiden perlanggaran feri dimuktamad selepas siasatan selesai - SPPP

Sumber: FB Info Kemalangan & Bencana Malaysia
Dalam kejadian 8.40 malam 1 Sept lepas itu, Feri Teluk Bahang yang dalam perjalanan menuju ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) berlanggar dengan MV Mekar Jaya di perairan berhampiran had Pelabuhan Pulau Pinang. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Laporan akhir siasatan insiden perlanggaran membabitkan kapal MV Mekar Jaya dan Feri Teluk Bahang pada 1 Sept lepas akan dimuktamadkan selepas semua proses siasatan selesai serta maklumat dan keterangan berkaitan diteliti.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Datuk Yeoh Soon Hin berkata susulan kejadian itu, satu Jawatankuasa Siasatan Bersama ditubuhkan melibatkan Jabatan Laut Malaysia (JLM) Wilayah Utara, SPPP dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bagi menjalankan siasatan menyeluruh.

Beliau berkata jawatankuasa itu berperanan mengenal pasti punca kejadian dan pihak yang terlibat, selain meneliti serta mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Sehingga kini, beberapa tindakan siasatan telah dan sedang dilaksanakan termasuk pemeriksaan ke atas kapal dan feri yang terlibat serta sesi mendapatkan keterangan daripada pihak-pihak berkaitan.

“Laporan awal berhubung insiden itu juga telah dikemukakan kepada Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yeoh berkata selepas laporan siasatan dimuktamadkan, SPPP akan mengambil tindakan susulan sewajarnya berdasarkan dapatan siasatan serta arahan dan keputusan lanjut berkaitan.

Beliau berkata SPPP dan PPSB akan terus memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh.

Dalam kejadian 8.40 malam 1 Sept lepas itu, Feri Teluk Bahang yang dalam perjalanan menuju ke Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) berlanggar dengan MV Mekar Jaya di perairan berhampiran had Pelabuhan Pulau Pinang.

MV Mekar Jaya pula dilaporkan dalam perjalanan dari Dermaga Air Dalam, Butterworth menuju ke Terminal Persiaran Swettenham ketika perlanggaran berlaku, dengan 21 penumpang pada awalnya dilaporkan mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement