KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapati Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion.

Menerusi laporan penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022, FELDA didapati mempunyai kedudukan tunai dan kesetaraan tunai yang rendah berbanding kerugian dengan nilai RM0.808 bilion berakhir 31 Disember tahun 2022.

Menurut laporan itu, Geran Kerajaan yang diterima oleh FELDA pada tahun 2022 berjumlah RM0.214 bilion dan FELDA didapati bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk menampung kos operasi dan liabiliti.

"FELDA mempunyai komitmen yang tinggi untuk melunaskan pembiayaan yang diterima sehingga tempoh matang.

“FELDA memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan berjumlah RM7.973 bilion dan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM0.686 bilion,” menurut laporan berkenaan.

Malah Felda turut mempunyai komitmen bayaran balik Kemudahan Pembiayaan Tawarruq kepada sebuah syarikat di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan) sejumlah RM50 juta setahun bagi tempoh lima tahun mulai tahun 2024.

"Baki bayaran balik berjumlah RM2.595 bilion perlu dibuat mengikut jadual dalam tempoh 15 tahun mulai tahun 2029," jelas laporan berkenaan lagi.

Laporan itu juga mendedahkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menghadapi rizab negatif berjumlah RM0.388 bilion pada tahun 2022.

"LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion, iaitu Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.

"Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata berjumlah RM0.812 bilion.

"LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum," menurut laporan itu.

Dalam pada itu, LKAN juga menjangkakan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik sukuknya.

Menurutnya, PR1MA dilaporkan menghadapi kerugian bersih berjumlah RM0.257 bilion makakala liabiltii berjumlah RM5.746 bilion.

"Kedudukan Tunai dan Kesetaraan Tunai PR1MA adalah sejumlah RM0.428 bilion.

"Baki pinjaman sukuk berjumlah RM3.792 bilion perlu dilunaskan hingga tahun 2027 termasuk Sukuk Tranche 2 berjumlah RM1.750 bilion yang akan matang pada bulan Oktober 2024.

“Keadaan ini menunjukkan PR1MA mempunyai komitmen bayaran balik sukuk yang tinggi hingga tahun 2027," kata laporan berkenaan.