Sehingga penghujung Julai tahun ini, kadar pinjaman isi rumah yang tertunggak telah meningkat 4.7 peratus, mencecah RM1,007.4 bilion, menurut Laporan Ekonomi Malaysia 2020 yang diedarkan hari ini.

Menurut laporan itu, jumlah itu telah mencecah 58.3 peratus daripada keseluruhan tunggakan pinjaman dalam sistem perbankan.

Laporan itu turut menyatakan pinjaman kepada isi rumah terus meningkat, di mana kelulusan pinjaman mencatat peningkatan 3.7 peratus, kepada RM128.1 bilion, dan jumlah pembayaran meningkat 1.4 peratus, iaitu RM199.8 bilion.

“Pembayaran pinjaman kepada sektor isi rumah biasanya adalah untuk penggunaan kredit iaitu 49.8 peratus.

“Ia diikuti pembelian perumahan (24.8 peratus) dan kereta penumpang (10.9 peratus,” menurut laporan itu lagi.

Dalam pada itu, laporan itu menyebut, keseluruhan hutang isi rumah telah meningkat kepada RM1,216.7 bilion, mencatat 82.2 peratus daripada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) pada penghujung Jun 2019.

“Bagaimanapun, kadar hutang itu telah menjadi sederhana sejak 2015 ekoran pelbagai langkah penjimatan secara makro, serta program kesedaran kewangan telah diperkenalkan kepada sektor isi rumah.

“Hutang isi rumah secara keseluruhannya terdiri daripada pinjaman perumahan (54.2 peratus), diikuti kegunaan peribadi (14.1 peratus), dan kereta penumpang (12.9 peratus),” menurut laporan itu lagi.

Bagi aset kewangan isi rumah pula, ia terus kukuh dengan jumlah RM2,627.6 bilion, dengan keupayaan membayar balik sektor itu terus kukuh, diperkuatkan oleh faktor pendapatan yang stabil serta pengembangan peluang pekerjaan.

“Atas sebab itu, kadar hutang isi rumah negara dijangka masih terkawal dalam tahun 2019 dan 2020,” menurut laporan itu.