APA lagi yang kita hendak kata tentang Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini? Secara umumnya, adakah apa-apa yang baharu? Bukankah setiap tahun apabila laporan itu dikeluarkan ceritanya sama?

Tema ceritanya sama: barangan atau perkhidmatan yang sepatutnya diperolehi dengan harga yang rendah dibayar dengan harga yang tinggi; projek yang sepatutnya diuruskan dengan baik, jadi tidak teratur dan terlewat daripada jadual; belanja yang tidak berhemat; kerja yang tidak dirancang dengan teliti, pengurusan tidak cekap dan banyak lagi.

Itu ini, begitu begini; yang itu, itu juga.

Apakah yang dipelajari daripada laporan yang dikeluarkan saban tahun itu? Apakah sebenarnya ada pelajaran yang diambil? Apakah pula sikap penjawat awam di kementerian, jabatan dan badan berkanun terhadap laporan itu?

Adakah mereka peduli?

Apa yang ternampak daripada laporan audit negara setiap tahun ini ialah mereka yang terlibat semacam tidak peduli. Kalau mereka peduli, hal-hal seperti itu tidak akan terjadi lagi. Tetapi sebaliknya itu ini, begitu begini, akhirnya yang itu, itu juga

Itulah juga pandangan Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd Tap Salleh dalam wawancara bersama Astro AWANI. Beliau membangkitkan soal sikap di kalangan kementerian, jabatan dan badan berkanun yang ambil mudah semua teguran Ketua Audit Negara kerana yang ditegur bukan mereka tetapi kementerian, jabatan dan badan berkanun lain.

Ini bukan soal kementerian, jabatan atau badan berkanun yang mana atau di bawah bidang kuasa siapa. Rakyat buta kepada semua itu. Bagi rakyat, kementerian, jabatan dan badan berkanun itu secara pakejnya ialah kerajaan — kerajaan yang mereka pilih melalui pilihan raya dan diberi amanah serta tanggungjawab untuk menguruskan negara dengan duit cukai yang mereka bayar.

Itu saja.

Itu sebabnya semua kementerian, jabatan dan badan berkanun perlu ambil peduli. Ambil peduli itu satu kerja mesti.

Mereka mesti peduli kerana kita peduli — sangat peduli. Sebagai rakyat, kita peduli kerana yang dibazirkan itu adalah wang yang kita bayar sebagai cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri setiap tahun serta lain-lain cukai yang dikenakan ke atas kita.

Maka itu, kita berhak bertanya dan kita harus bertanya. Berhak bertanya dan (berani) melontarkan pertanyaan adalah dua perkara yang tidak sama. Misalnya, seseorang boleh melintas jalan tetapi kalau dia memilih untuk tidak membuka langkah untuk berjalan, tegaklah dia jadi macam tugu di tepi jalan.

Kita pun sama. Sekiranya kita tidak bertanya, jadilah kita pembaca laporan audit tahunan yang setiap tahun ditunjukkan dengan cerita yang sama. Memang ada penambahbaikan di sana sini tetapi secara keseluruhannya masih lagi itu ini, begitu begini; yang itu, itu juga.

Itu sebabnya kita wajar bertanya: Apakah mereka yang terlibat dalam semua pendedahan yang memalukan ini sedar diri, ada maruah dan tahu malu? Sedar diri, ada maruah dan tahu malu itu adalah ciri-ciri integriti yang paling asas. Itulah juga nilai-nilai yang diajar sejak tadika — ikut peraturan; jangan ambil barang yang bukan hak sendiri; kalau buat sepah, kemas sendiri dan kalau buat silap, minta maaf.

Adakah mereka yang terlibat rasa ini semua?

Itu yang kita kena tanya. Kerja bertanya itu tidak salah sebaliknya tidak bertanya itulah yang menjadi satu dosa — dosa kepada bangsa dan negara, dosa kepada anak cucu dan masa depan tetapi yang lebih pentingnya ialah dosa kepada diri sendiri.

Kalau kita sebagai ibu dan ayah pun biasa bertanya kepada anak-anak ke mana dan bagaimanakah duit jajan sekolah dibelanjakan, salahkah kalau rakyat dan pembayar cukai bertanya hal yang sama yang berbangkit daripada pendedahan laporan audit itu?

Ada banyak hal sebenarnya yang telah ditanyakan oleh media dan banyak juga pertanyaan-pertanyaan lain yang timbul selepas media melaporkan dengan agak bersemangat isi kandungan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang dikeluarkan awal minggu ini.

Tetapi dalam masa beberapa hari lagi, semua ini akan reda. Setahun lagi, kita akan didedahkan dengan laporan audit yang baru — dan ceritanya nanti mungkin sama: itu ini, begitu, begini; yang itu, itu juga.

Apa lagi yang hendak kita kata?