Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada Isnin tampil menjelaskan apa yang dimaksudkannya dalam ceramah di Rantau sebelum ini merujuk kepada laporan kewangan LTAT, dan bukannya laporan audit seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Laporan kewangan sedang dalam proses disediakan oleh LTAT dan akan dikeluarkan dalam jangka masa terdekat.

“Segala kekeliruan amat dikesali,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Ahad, dalam satu ceramah Mohamad mendakwa pihak yang mengkritik Pakatan Harapan terus memainkan isu perkauman untuk menutup kelemahan yang dilakukan mereka sebelum ini.

"Siapa dalam (Lembaga) Tabung Angkatan Tentera? Melayu ke Cina? Siapa curi? Siapa tipu? Ini kamu curi, kamu rompak, kamu tuduh Cina.

"Sampai bila nak main politik macam tu? Macam kita tak ada maruah nak bela Melayu," katanya.

Terdahulu pada Mac lepas, Mohamad berkata, pengumuman dividen LTAT masih belum dibuat kerana terdapatnya masalah pentadbiran daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Pengumuman tersebut juga akan mengambil masa selepas menerima beberapa teguran sebaik sahaja proses audit dijalankan.