NATIONAL
Laporan lengkap bedah siasat Nora Anne belum diperoleh - Polis

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne, yang mengalami masalah pembelajaran, tidak mempunyai unsur jenayah. - Gambar fail
Laporan lengkap bedah siasat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, masih belum diperoleh, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.
Laporan berkenaan kemungkinan akan diperolehi dalam masa terdekat, katanya ketika dihubungi Bernama.
"Selain laporan lengkap bedah siasat, pihak polis juga masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia. Siasatan polis (kes kematian remaja itu) masih lagi SDR (kematian mengejut), " katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan keluarga Nora Anne yang mendakwa ada unsur jenayah dalam kematian anak mereka ketika ditemu ramah media antarabangsa, semalam.
Dalam temu ramah itu, Meabh Jaseprine Quoirin dan suaminya Sebastian Marie Philipe memberitahu stesen penyiaran RTE, Ireland mereka mahu mencari kebenaran dan keadilan untuk anak mereka itu.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, permohonan inkues oleh keluarga Nora Anne terhadap kes berkenaan hanya akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara.
Mayat remaja itu ditemukan pada 13 Ogos lepas, iaitu 10 hari selepas kehilangannya oleh pasukan sukarelawan yang menyertai operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan tidak berpakaian berhampiran anak sungai di kawasan berlurah, sekitar 2.5 km daripada eko-resort itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami