KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa hari ini melancarkan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Laporan Rancangan Struktur Labuan 2040 dan Kempen Kibar Bendera sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2024.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, beliau berkata laporan berkenaan menjadi dokumen penting yang akan menggariskan pelbagai cadangan dasar pembangunan berkaitan perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial di Wilayah Persekutuan Labuan.

"Secara ringkasnya, laporan ini akan menentukan hala tuju pembangunan Labuan menjelang 2040. Bagi melengkapkan laporan ini sebelum digazetkan, pandangan dan penglibatan rakyat amat penting agar Rancangan Struktur ini menjadi lebih komprehensif dan mampan," katanya.

Beliau berkata Perbadanan Labuan dengan kerjasama PLANMalaysia akan mengadakan sekurang-kurangnya sembilan program outreach melibatkan pemegang taruh bermula hari ini hingga 29 Februari bagi menerangkan rancangan struktur dan mengumpul sebanyak mungkin pandangan dan hasrat rakyat.

Dr Zaliha berkata pendekatan bottom-up berkenaan akan membolehkan Labuan dibangunkan seperti yang diinginkan dan diperlukan oleh rakyat di pulau bebas cukai itu.

"Selepas kesemua proses pandangan awam ini diselesaikan, laporan ini akan dibentangkan semula kepada saya sebelum digazetkan selewat-lewatnya sebelum tamat suku kedua tahun 2024," katanya.

Dr Zaliha juga berkata beliau mengumumkan beberapa keputusan dasar yang telah dibuat sewaktu mesyuarat semalam, antaranya keutamaan untuk menyelesaikan infrastruktur asas di Labuan bagi memastikan keselesaan rakyat.

Ia melibatkan tiga projek penggantian paip sepanjang 70 kilometer akan siap seawal Jun tahun ini dan selewat-lewatnya pada suku pertama 2025.

"Kesemua perancangan di Labuan tidak akan boleh kita kecapi sekiranya perkara asas seperti air, elektrik dan kesalinghubungan belum diselesaikan terlebih dahulu," katanya.

Lanjutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung tahun lepas yang meminta kementerian dan agensi kerajaan mengadakan program di Labuan, Dr Zaliha berkata sebanyak 92 program telah dikoordinasi oleh pihak Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk tahun ini.

Bagi merancakkan pelancongan serta mengambil kira perjumpaan beliau bersama pihak Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Labuan, Tourism Malaysia Labuan dan pemegang taruh termasuk komuniti perniagaan di wilayah itu, Dr Zaliha turut mengarahkan penubuhan satu jawatankuasa khas diketuai Perbadanan Labuan bagi mengenal pasti produk pelancongan, sekali gus menarik lebih ramai pelancong.

Katanya penglibatan semua pihak termasuk penjawat awam, swasta, badan bukan kerajaan, pemain industri dan rakyat di Labuat amat penting bagi menjayakan aspirasi tersebut.

-- BERNAMA