Sejumlah 72 individu ditahan polis semalam (Isnin) atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata antara kesalahan yang direkodkan termasuk tindakan seorang individu melarikan diri dari pusat kuarantin.

"Daripada jumlah itu, seramai 70 individu telah dikompaun, seorang direman dan seorang individu dijamin.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (24), penjarakan fizikal (26), tidak memakai pelitup muka (20), lari dari pusat kuarantin (1) serta premis beroperasi lebih masa (1)," menurut beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, menerusi Operasi Benteng yang dilaksanakan semalam, sejumlah 14 tangkapan dilakukan yang melibatkan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang penyeludup.

Menurut Ismail Sabri lagi, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 24,961 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di beberapa negeri.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,887 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Seramai 15,008 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," kata beliau lagi.

Mengulas berkenaan operasi pemantauan barangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 2,291 pemeriksaan khas.

"Pihak KPDNHEP mendapati 2,147 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 142 premis diberi nasihat dan dua diberi amaran kerana tidak patuh SOP," katanya.