KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga asing selepas kenderaan yang dinaikinya melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dalam satu kenyataan hari ini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.15 petang apabila anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mengarahkan sebuah kenderaan jenis Honda City berwarna putih berhenti untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun tegasnya, pemandu kenderaan itu enggan mematuhi arahan sebelum melarikan diri ke arah Semenyih, memasuki Lebuhraya SILK dan menuju ke Jalan Reko.
"Kenderaan berkenaan dipercayai dipandu secara berbahaya dan telah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan awam sebelum berjaya ditahan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Reko," katanya.
Tambahnya, pemandu lelaki yang merupakan warga asing berjaya melarikan diri, manakala seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan menemukan tiga (3) paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2.13 gram. Sebuah Honda City turut dirampas bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Siasatan berkaitan kemalangan jalan raya turut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," kata Naazron.
Katanya lagi, wanita warga asing berkenaan juga gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah dan telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Tegasnya, polis kini sedang mengesan pemandu yang melarikan diri serta menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pemilikan dadah yang dirampas.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau suspek diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM Norhafdzeli Ismail, di talian 010-373 5508 atau IPD Kajang di talian 03-8911 4222, atau mana-mana balai polis berhampiran.