TELUK INTAN: Hujan lebat yang turun malam tadi menyebabkan Larut Matang Selama (LMS) menjadi daerah terbaharu dilanda banjir, selain Hilir Perak dan Kerian.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Star, Selama, jam 8 malam tadi, menempatkan 30 mangsa dari 11 keluarga.

Kesemua mangsa adalah dari Kampung Sungai Star dan Kampung Tanjung Lengkog.

Dengan tambahan PPS itu, menyaksikan bilangan mangsa banjir di seluruh Perak meningkat kepada 156 orang daripada 45 keluarga, berbanding 120 orang daripada 31 keluarga.

Selain PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Star, seramai 85 orang dari 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan dan 41 orang dari sembilan keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Kerian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian banjir di Batu 7, Lorong Ganda, Changkat Jong pada 10.47 malam tadi.

Menurutnya, anggota bomba turut memindahkan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) yang berusia dalam lingkungan 60-an ke PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Katanya, anggota bomba masih meneruskan pemantauan di semua kawasan terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan tiga batang jalan ditutup kerana berlaku kejadian tanah runtuh.

Ia termasuk A021 Jalan Kubu Gajah, Ijok - Sumpitan di Selama yang ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, FT 93 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan di kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh.

Manakala di Kerian, laluan FT147 Jalan Selama hanya dibuka kepada kenderaan berat dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah. 

Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi papan tanda yang dipasang di sekitar kawasan berkenaan. 

Sementara itu, Bernama memetik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong mencatatkan tahap bahaya 4.10 meter berbanding dua meter paras normal.

"JPS turut melaporkan paras air Sungai Slim di Slim River turut berlaku kenaikan menghampiri aras amaran apabila merekodkan bacaan 25.31 meter daripada paras normal 23.50 meter, manakala Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang turut berada pada paras amaran iaitu 13.92 meter.

"Sungai Ijok di Larut Matang dan Selama (LMS) berada pada paras berjaga-jaga apabila merekodkan ketinggian 11.62 meter berbanding paras normal iaitu 10.4 meter termasuk Sungai Kerian turut naik ke paras 11.52 meter," menurut kenyataan JPS.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan ribut dan hujan lebat dijangka berlaku pada sebelah petang dan malam di semua daerah.