KUALA LUMPUR: Sambutan Ambang Hari Kebangsaan 2023 di seluruh negara meriah dengan beberapa lokasi menjadi tumpuan orang ramai yang menantikan kiraan detik 12 tengah malam, memasuki tanggal 31 Ogos, hari bersejarah dan bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia yang disambut setiap tahun.

Sebelum itu, mereka disajikan dengan pelbagai program termasuk persembahan pentas dan forum agama yang menumpukan kepada memperkasakan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air.

Sejurus tepat 12 tengah malam, beberapa lokasi bermandikan percikan bunga dengan para pengunjung melaungkan "Merdeka" dengan penuh bersemangat.

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Ambang Hari Kebangsaan dengan menganjurkan Grand Stand Ambang 31@Bernama di pekarangan lobi Wisma Bernama di sini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Roslan Ariffin dan Ketua Pengarang Jamaluddin Muhammad serta kakitangan Bernama dan ahli keluarga mereka.

Pertunjukan bunga api dan persembahan D'Parawood yang merupakan Band 10 Briged Para adalah antara yang menjadi tarikan sambutan selain karaoke Merdeka dan deklamasi puisi patriotik serta persembahan koir daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong Baru.

Sementara itu, Dataran Merdeka dibanjiri kira-kira 15,000 pengunjung yang melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali apabila tepat jam 12 tengah malam diikuti nyanyian lagu Negaraku.

Seterusnya pertunjukan bunga api berlangsung selama lima minit menerangi dan mewarnai langit ibu kota dan diselangi dengan lagu Tanggal 31 Ogos dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pengunjung turut terpesona dengan pertunjukan cahaya lampu di menara berkembar Petronas manakala di Taman KLCC pula diserikan dengan pesta cahaya dan air pancut berirama diikuti pertunjukan bunga api tepat pukul 12 tengah malam.

Di PUTRAJAYA, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyertai lebih 2,000 jemaah untuk solat maghrib, solat hajat dan doa selamat yang dipimpin Imam Masjid Putra Abdul Karim Zakaria pada Forum Ambang Merdeka anjuran Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di Masjid Putra di sini, malam tadi.

Program kemudiannya diteruskan dengan Amanat Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan disusuli dengan pengisian Forum Ambang Merdeka bertajuk "Nilai Islam Dalam Erti Kemerdekaan" bersama ahli panel iaitu pendakwah Ustaz Rozie Rejab dan Ustaz Muhammad Noorazam Bahador, yang dikendalikan oleh Imam Masjid Negara Ustaz Mohd Nadzri Mustakhim.

Mohd Na'im dalam ucapannya berkata umat Islam perlu menjadi model peranan, menyerlahkan sifat rahmah, menghilangkan syak wasangka serta menterjermahkan aplikasi Fiqh Taayush (kewujudan bersama) dalam kehidupan seharian, agar keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia dapat terus disuburkan.

Di SELANGOR, sambutan ambang Hari Kebangsaan peringkat negeri meriah dengan kehadiran kira-kira 20,000 orang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Bermula pukul 4.45 petang, sambutan dimulakan dengan selawat dan munajat bersama Habib Ali Zaenal Abidin dan pada sebelah malam, sambutan diteruskan dengan perarakan serta perbarisan 66 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, swasta, pancaragam sekolah serta persembahan khas anggota beruniform, antaranya kawad senyap dan tempur tanpa senjata.

Amirudin turut menyerahkan sumbangan khas kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Selangor dan Persatuan Bekas Polis Selangor selain, menyampaikan Anugerah Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor dinobatkan kepada Allahyarham Leftenan Adnan Saidi.

Di MELAKA, sambutan Ambang Merdeka sempena Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini malam tadi diserikan dengan Persembahan Gendang 24 Musim oleh pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yok Bin, Melaka.

Terdahulu, lebih 30,000 hadirin yang mula berkumpul di Dataran Sejarah Ayer Keroh sejak 6 petang disajikan dengan pelbagai persembahan, antaranya bacaan puisi merdeka oleh pelajar sekolah dan nyanyian oleh penyanyi Datuk Wan Aishah Wan Arifiin.

Di JOHOR, kira-kira 2,500 masyarakat setempat menyertai Program Bacaan Yassin dan Tahlil menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri Johor di Masjid Jamek Al-Falah, Simpang Renggam, Kluang.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Jabatan Agama Islam Negeri Johor itu dimulai dengan solat maghrib berjemaah dan disusuli dengan bacaan surah Yasin, tahlil dan juga doa selamat.

Di PERAK, sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Perak 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru bermula pukul 8 malam dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sambutan yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan exco kerajaan negeri dimulakan dengan persembahan tarian, sketsa, puisi muzikal, koir, gamelan dan nyanyian oleh selebriti popular iaitu Haziq dan Black Hanafiah serta deklamasi puisi.

Di KEDAH, sambutan ambang Merdeka meriah dengan kehadiran orang ramai di Tasik Darulaman, Jitra malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan antaranya seni silat dan tarian pelbagai kaum Melayu, Cina dan Siam serta persembahan deklamasi sajak bertajuk "Tanah Air" serta persembahan nyanyian daripada Ameng, penyanyi kumpulan Spring.

Di KELANTAN, lebih 5,000 pengunjung hadir di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi menyaksikan 66 kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan seperti pasukan unit beruniform, agensi-agensi kerajaan dan negeri membabitkan 2,310 peserta.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika berucap menyeru agar rakyat Kelantan berusaha mengekalkan nikmat kemerdekaan yang dikecapi dengan menjalinkan hubungan harmoni bersama kaum dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain supaya keamanan di negeri ini kekal sepanjang masa.

Di TERENGGANU, sambutan Ambang Merdeka 2023 di Dataran Muara Utara, Jambatan Angkat di Kuala Terengganu dimulakan dengan pengisian keilmuan melalui Forum Kemerdekaan: "Ukhuwah Islamiah Melestarikan Intipati Kemerdekaan" dan disusuli dengan persembahan nyanyian lagu patriotik oleh artis jemputan.

Menghampiri 12 tengah malam, upacara perarakan masuk anggota Rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Di SARAWAK, Pertandingan Ratu Kebangsaan Mukah selain persembahan artis-artis tempatan Sarawak menjadi penyeri sambutan Ambang Merdeka 2023 yang disaksikan ribuan penduduk tempatan di Dataran Pehin Setia Raja, Mukah, malam tadi.

Acara persembahan yang turut disertai Kumpulan Tarian Sri Ritma Borneo Mukah, Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak dan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak itu turut disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah yang juga menteri bertanggungjawab untuk sambutan Hari Kebangsaan peringkat Sarawak tahun ini.

-- BERNAMA