Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Lawatan kerja ke UK berjaya capai sasaran reformasi perkhidmatan awam - Shamsul Azri

KSN, Shamsul Azri_FB Shamsul Azri Abu Bakar
Menerusi lawatan kerja selama tiga hari itu, Shamsul Azri memaklumkan, pelbagai usaha bagi mengukuhkan hubungan institusi global dilaksanakan termasuk sesi dialog bersama sarjana serta pemikir pentadbiran awam University of Oxford. - Foto Facebook Shamsul Azri Abu Bakar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Lawatan kerja ke United Kingdom berjaya mencapai kesemua sasaran yang ditetapkan dalam usaha memperkukuh Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, lawatan itu turut membawa pulang perspektif baharu, amalan terbaik serta jaringan strategik global bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing perkhidmatan awam.

“Antara sasaran yang dicapai termasuk usaha meningkatkan kedudukan indeks perkhidmatan awam, pemeteraian memorandum persefahaman antara Universiti Oxford dan Razak School of Government (RSOG) serta pemantapan kerangka reformasi perkhidmatan awam dari perspektif global,” katanya dalam kenyataan menerusi media sosial pada Jumaat.

Jelasnya, lawatan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan di luar negara.

“Alhamdulillah, kesemua sasaran ini berjaya dicapai. Semoga manfaat dan hasil lawatan ini akan diterjemahkan kepada tindakan dan pembaharuan yang nyata ke arah perkhidmatan awam yang lebih tangkas, berdaya tahan dan sedia masa depan,” katanya.

Menerusi lawatan kerja selama tiga hari bermula 21 September itu, pelbagai usaha bagi mengukuhkan hubungan institusi global dilaksanakan termasuk sesi dialog bersama sarjana serta pemikir pentadbiran awam University of Oxford dengan tumpuan dalam bidang pendidikan, kepimpinan dan modal insan.

Ini turut meliputi pertemuan dengan Pengarah Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS), Dr Farhan Nizami yang menekankan perbincangan dalam tadbir urus Islam global, penyelidikan, pembangunan sosial dan kepimpinan Islam, selain pelbagai agenda nilai Malaysia MADANI diperkasa dalam sesi meja bulat bersama Blavatnik School of Government University of Oxford.

Must Watch Video

Advertisement