Seramai 1,709 pelajar sekolah menengah didapati positif dadah dalam ujian saringan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, saringan dibuat terhadap lebih 41,000 pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di 178 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara.

"Daripada 41,741 pelajar yang melalui ujian saringan, kita dapati 1,709 positif dadah, atau lebih kurang empat peratus. Kebanyakan mereka positif dadah methamphetamine," katanya pada sidang media selepas melancarkan talian Hotline AADK di ibu pejabat agensi berkenaan di Jalan Maktab, hari ini.

Menurutnya, Sarawak mempunyai jumlah pelajar sekolah menengah yang paling tinggi direkodkan positif dadah berdasarkan ujian saringan yang dilakukan.


AADK juga mendapati terdapat perubahan trend penggunaan dadah jenis methamphetamine yang lebih tinggi iaitu sebanyak 61 peratus berbanding dadah lain.

Penggunaan dadah jenis opiat pula menurun sebanyak 30 peratus, katanya.

Zulkifli melihat peta kawasan panas gejala dadah ketika Majlis Perasmian Pusat Gerakan Hotline Ibu Pejabat AADK, hari ini. - BERNAMA
Zulkifli berkata, pihaknya turut memberi tumpuan untuk menjalankan saringan terhadap kakitangan di agensi awam dan swasta, selaras dengan program Tempat Kerja Bebas Dadah (Tekad) yang dijalankan sebelum ini.

"Sebelum ini, AADK ada melakukan saringan di agensi awam dan swasta, namun pada tahun depan, kami akan mempergiatkan program berkenaan dalam usaha membantu menyelamatkan kakitangan yang terjebak dengan dadah," katanya.

Ujarnya, daripada 178 kawasan berisiko tinggi itu, 86 lokasi bertukar menjadi menjadi kuning, lima kawasan bertukar menjadi hijau manakala 87 kawasan kekal merah.

Jelas Zulkifli, kawasan berisiko tinggi diklasifikasikan kepada tiga kategori iaitu merah (penggunaan dadah paling tinggi), kuning (sederhana) dan hijau (bersih).

"Kami akan teruskan tumpuan untuk mengekalkan kawasan hijau sebagai hijau, menukar kawasan kuning kepada hijau dan menukar kawasan merah kepada kuning," tambahnya.

Dalam majlis itu, Zulkifli melancarkan talian Hotline AADK yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menghubungi 03- 89112233 atau 019-6262233.