SUNGAI PETANI: Lebih 1,000 peserta menyertai program VM2026 Color Run yang berlangsung meriah di sekitar kawasan ikonik Menara Jam Besar Sungai Petani, Kedah pada Sabtu.
Acara yang bermula seawal jam 7 pagi itu bukan sahaja menarik minat penduduk sekitar Sungai Petani, malah turut disertai warga dari Pulau Pinang, Perlis dan Perak.
Advertisement
Ketua Pegawai Eksekutif Ghanaz Travel and Event Sdn Bhd, Ghazally Abdul Rahman berkata, program itu berupaya merancakkan kempen Visit Malaysia 2026 menerusi pembudayaan amalan gaya hidup sihat.
“Sokongan yang diberikan itu membuktikan semangat rakyat Malaysia dalam mendokong agenda pelancongan domestik menerusi program berbentuk rekreasi,” katanya di sini, Sabtu lalu.
Terdahulu, program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Adam Loh.
Sementara itu, Ghazally menjelaskan bahawa program tersebut merupakan permulaan kepada siri jelajah Visit Malaysia 2026 Color Run.
Menurutnya, siri jelajah ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain termasuk Johor, Labuan, Sabah dan Sarawak, manakala Putrajaya bakal menjadi lokasi acara kemuncak.
“Penganjuran program ini dilihat sebagai platform efektif untuk menggalakkan penyertaan masyarakat, merancakkan sektor pelancongan domestik serta memupuk semangat perpaduan melalui aktiviti yang sihat dan inklusif.
“Keseluruhan program berlangsung dengan lancar dalam suasana penuh warna-warni, selari dengan konsep Color Run yang menekankan elemen kegembiraan, kesihatan dan perpaduan komuniti.
“Kami berharap semangat ‘warna menyatukan kita’ dapat terus menyemarakkan kempen Visit Malaysia 2026,” ujarnya.