KUALA LUMPUR: Lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tujuh daerah di Pahang iaitu Raub, Lipis, Bentong, Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan dilanda banjir dengan 116 PPS dibuka setakat 9 pagi.

Banjir turut menyebabkan laluan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ditutup di kedua-dua hala membabitkan Kilometer (KM) 113.4, KM84.6, KM198.7 dan KM74.4 setelah dinaiki air manakala hanya kenderaan berat dibenarkan melalui KM75.1.

Pemegang konsesi lebuh raya itu, ANIH Bhd memaklumkan KM66.4 hingga KM66.1 arah ke Kuala Lumpur juga masih ditutup bagi kerja pembersihan akibat banjir lumpur, selain kejadian tanah runtuh menyebabkan KM67.8 dan KM69.5 ditutup bagi semua kenderaan untuk laluan ke ibu negara.

Hujan berterusan juga menyebabkan bacaan di 19 stesen sungai di Pahang melebihi paras bahaya antaranya Sungai Jelai di Lipis, Sungai Tembeling (Jerantut), Sungai Bentong (Bentong), Sungai Semantan (Temerloh), Sungai Pahang (Temerloh) dan Sungai Lembing serta Sungai Belat di Kuantan.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat berterusan peringkat bahaya akan berlaku di Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan hari ini, manakala Temerloh, Maran dan Pekan dijangka dilanda hujan lebat berterusan tahap buruk.

Di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan beberapa jalan ditutup untuk laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir.

Jalan-jalan tersebut termasuk di bawah seliaan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Klang Utara, Sungai Buloh, Subang Jaya, Kuala Langat, Sepang dan Shah Alam.

Sementara itu, Info Bencana JKM memaklumkan 4,596 orang dipindahkan setakat 7 pagi ini, membabitkan pembukaan 55 PPS.

Di KELANTAN, mangsa banjir terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini, dengan 3,652 orang daripada 826 keluarga ditempatkan di 44 PPS.

Pegawai Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kelantan Kapt Mohd Hanif Omar berkata 21 PPS dibuka di Kuala Krai, 15 di Gua Musang, empat di Jeli dan masing-masing dua di Tanah Merah dan Pasir Mas.

Portal rasmi eBanjir Kelantan melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai yang merekodkan bacaan 27.06 meter (m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (16.94 m), Sungai Lebir di Tualang (36.59 m), Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah (24.01 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.04 m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat sedikit kepada 261 orang daripada 88 keluarga setakat 9 pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan Dungun merupakan satu-satunya daerah yang dilanda banjir ketika ini dengan tiga PPS beroperasi.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 563 orang daripada 112 keluarga melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Di NEGERI SEMBILAN, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Seremban memaklumkan laluan menuju Jalan Seremban-Simpang Pertang yang menghubungkan jalan Pantai dan Jeram Toi, Jelebu ditutup sementara kepada pengguna jalan raya susulan tanah runtuh di kawasan tersebut malam tadi.

Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada 413 individu daripada 96 keluarga dan 10 PPS dibuka setakat 8 pagi ini.

-- BERNAMA