IPOH: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari di jajaran lebuh raya yang telah beroperasi sepanjang sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan cuti sekolah bermula pada hujung minggu ini.
WCE dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan trafik dijangka berlaku berikutan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan melakukan perjalanan antara negeri, khususnya antara Lembah Klang dengan destinasi lain di Selangor dan Perak.
Ketua Operasi Lebuh Raya WCE Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata justeru, WCE menasihati pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan perjalanan pada waktu puncak, khususnya dari lewat petang hingga malam.
"Lebih penting, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah, ramai rakyat Malaysia akan berada di jalan raya untuk bersama-sama keluarga dan mengunjungi pelbagai destinasi.
"Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat yang secukupnya dan jangan sekali-kali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan," katanya menerusi kenyataan tersebut.
Sementara itu, WCE memaklumkan bagi membantu memastikan perjalanan lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh cuti berkenaan, WCE akan meningkatkan kesiapsiagaan operasi di sepanjang jajaran yang telah dibuka, termasuk rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) yang beroperasi 24 jam, selain pemantauan keadaan trafik secara berterusan.
Sehubungan dengan itu, WCE memaklumkan pengguna digalakkan menggunakan aplikasi WCE App untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi laluan serta memperoleh maklumat trafik masa nyata, termasuk paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung di sepanjang lebuh raya.
Pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan jauh, memastikan baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi sebelum memasuki lebuh raya dan mematuhi had laju serta memakai tali pinggang keledar setiap masa.
Selain itu, pengguna juga perlu mendapatkan rehat yang secukupnya dengan berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) yang disediakan di sepanjang WCE sekiranya berasa letih, serta tidak menggunakan lorong kecemasan kecuali dalam keadaan kecemasan.
Bagi penunggang motosikal pula, kawasan teduhan motosikal disediakan di sepanjang lebuh raya untuk berehat sekiranya penat atau berteduh ketika hujan, selain pengguna lebuh raya perlu mengamalkan sikap sabar, bertimbang rasa dan berhemah, khususnya ketika berhadapan dengan peningkatan trafik.
"Lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal. Sebaliknya, lorong tersebut disediakan untuk kegunaan kecemasan, operasi menyelamat, pengurusan insiden serta situasi luar jangka yang memerlukan akses segera demi keselamatan semua pengguna dan kelancaran aliran trafik di lebuh raya," menurut kenyataan itu.
Bagi mendapatkan bantuan kecemasan di sepanjang WCE, pengguna boleh menghubungi WCE Infoline menerusi talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam.
-- BERNAMA