HULU TERENGGANU: Lebih 300 Program Jualan Agro MADANI akan dilaksanakan di Terengganu bagi membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah.

Timbalan Pengarah (Operasi) FAMA Terengganu, Ahmad Rafiee Musa berkata, istimewa pada penganjuran Jualan Agro MADANI ialah barangan pertanian segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, telur dan daging yang dijual dengan harga murah.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyediakan pek kombo MADANI yang memuatkan tiga barangan dan boleh didapati dengan harga RM10.

"Pada tahun ini kita sasarkan sebanyak 383 jualan akan dilaksanakan di seluruh Terengganu.

"Setiap kali Jualan Agro MADANI dilaksanakan, kita akan menawarkan harga yang lebih murah kepada pengguna, untuk mendapatkan barangan keperluan, di mana mereka boleh menikmati penjimatan antara 10 dan 30 peratus.

"Seperti pek kombo yang kita sediakan pada hari ini, memuatkan barangan seperti telur, sayur dan minyak, biasanya berharga RM15 namun hari ini hanya dijual dengan harga RM10," katanya ketika ditemui di Tapak Pasar Malam Kampung Kuala Telemong, di sini.

Program Jualan Agro MADANI ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malahan turut dirasai para peniaga apabila jualan mereka juga meningkat.

Menurut Ahmad Danish Haris Amruzi, hasil jualannya meningkat kira-kira 40 peratus apabila dalam tempoh tiga jam, daging tempatannya habis terjual.

"Biasanya menerusi program jualan seperti ini saya akan membawa lebih 600 kilogram daging serta tulang dan sebagainya. Dalam masa tiga hingga empat jam sudah habis dijual.

"Harga daging yang ditawarkan hanya RM28 berbanding hari biasa yang dijual dengan harga RM35 hingga RM36," kata penjual itu.

Sementara itu, seorang pengguna, Mohd Arizan Mohd Aris berkata, program seumpama itu mampu meringankan beban mereka di mana harga barangan yang dijual lebih murah daripada pasaran.

"Memang baguslah program jualan seperti ini. Bukan sahaja barangan dijual dengan harga yang murah, malahan ia dapat memudahkan penduduk khususnya penduduk yang tinggal di luar bandar, bagi mendapatkannya.

"Jadi, kita sarankan agar program ini dapat dirancakkan jika boleh setiap minggu, atau sebulan sekali, bagi meringankan beban pengguna," katanya.

Program Jualan Agro MADANI adalah penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia.