Lebih 400 bekas penganut ajaran sesat sertai program pemantapan akidah Ahad ini - Exco

Mohd Fared berkata, kesemua peserta hadir secara sukarela setelah mengikuti beberapa siri kaunseling dan program kesedaran sebelum ini. - Bernama
JOHOR BAHRU: Lebih 400 bekas pengikut ajaran sesat dengan sebahagian besar daripada kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB), akan mengikuti Program Pemantapan Akidah dan Istitabah, Ahad ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata bekas pengikut Ajaran Ahmadi Religion juga akan menyertai program berkenaan yang diadakan di sebuah masjid di Bandar Penawar, Kota Tinggi.
Beliau berkata kesemua peserta hadir secara sukarela setelah mengikuti beberapa siri kaunseling dan program kesedaran sebelum ini.
"Kami berbesar hati kerana mereka ini datang secara sukarela, malah mereka ini juga merupakan individu yang telah dikenakan tindakan perundangan dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Gerobok Ar-Rizq, di sini hari ini.
Mohd Fared berkata program hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk memurnikan akidah bekas pengikut ajaran sesat.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri terus memperkukuh penguatkuasaan bagi mengekang ajaran sesat, termasuk penyebaran menerusi media sosial dengan meminda empat enakmen baru-baru ini.
Enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Johor 2003, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Johor 2003 serta Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor 1991.
"Pindaan enakmen ini bukan sahaja memperkukuh bahagian penguatkuasaan agama Islam bagi membanteras ajaran sesat, tetapi juga diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat secara keseluruhannya," katanya.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini bertitah agar umat Islam di negara ini sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat atau fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Seri Paduka Baginda bertitah penularan ajaran dan fahaman yang menyimpang kini semakin membimbangkan khususnya melalui platform media sosial.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda hari ini berkenan menerima menghadap Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad bersama Pengarah JAINJ Nasri Ali serta dipersembahkan usaha-usaha JAINJ dalam membanteras ajaran sesat di Johor.
Usaha itu termasuk langkah pemantauan terhadap cubaan menyebarkan (ajaran sesat) terutamanya mereka dari luar Johor.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


